Anda di sini

Tiga jambatan tetap dibina kerajaan Sarawak demi manfaat penduduk luar bandar

Advertisement
JULAIHI
JULAIHI

KUCHING: Kerajaan Sarawak tetap meneruskan projek-projek pembinaan jambatan di kawasan pesisir meskipun pada Khamis, Menteri Kerja Raya Baru Bian memaklumkan penangguhan projek tiga jambatan, Rambungan, Batang Lupar dan Batang Igan.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak awal November lepas, pembinaan jambatan tersebut dan yang lain terletak di kawasan pesisir dan luar bandar akan diteruskan, dibiayai kerajaan Sarawak.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, sepatutnya Baru menjelaskan tentang kerajaan persekutuan akan membayar balik kos pembinaan Jambatan Batang Lupar sebab kerajaan Sarawak akan mengeluarkan dana sendiri dahulu.

Ini kerana pada asalnya, pembinaan jambatan Batang Lupar adalah dibiayai separuh oleh kerajaan Sarawak dan sebahagian lagi oleh kerajaan persekutuan.

“Menyedihkan apabila Menteri Kerja Raya berasal dari Sarawak tidak menghargai usaha kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memutuskan untuk meneruskan pembinaan jambatan Rambungan, Batang Lupar dan Batang Igan meskipun kerajaan persekutuan telah menulis kepada kerajaan Sarawak mengenai penangguhannya.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat memahami kepentingan tiga jambatan ini bagi melengkapkan perhubungan di kawasan pesisir.

“Penduduk kawasan pesisir berhak menerima kemudahan jalan raya yang lengkap agar kawasan ini berupaya membangunkan segala potensi ekonomi dan meningkatkan taraf hidup mereka, serta sistem perhubungan yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.

Dalam nada kecewa, Julaihi berkata, Baru seharusnya berusaha untuk mendapatkan dana daripada kerajaan persekutuan bagi membiayai projek pembinaan jambatan-jambatan tersebut.

“Usah beritahu warga Sarawak beliau tidak ada semangat untuk memperjuangkan keperluan penduduk luar bandar, dan seolah-olah tidak maklum bahawa GPS memberi keutamaan membangunkan kawasan tersebut,” ujarnya.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata lagi, komitmen kerajaan Sarawak dalam membina kemudahan dan sistem jalan raya pesisir termasuk pembinaan jambatan terbukti jelas menerusi Belanjawan Sarawak 2019.

Projek-projek itu menurutnya, tidak diberi tumpuan utama oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) meskipun mengetahui Sarawak amat memerlukan dana besar bagi membangunkan infrastruktur, malah sumbangan negeri ini besar kepada pendapatan kerajaan persekutuan.

Beliau memberi jaminan GPS akan terus memberi tumpuan utama membangunkan luar bandar, dan ia sewajarnya disokong penuh oleh wakil-wakil rakyat PH dari Sarawak.

“Menteri dan Ahli Parlimen PH dari Sarawak sepatutnya berusaha lebih gigih untuk memperolehi dana pembangunan, jika tidak ketua mereka dalam kerajaan persekutuan menganggap mereka tidak serius,” jelasnya.

Pada persidangan DUN awal November lepas, Julaihi dilaporkan sebagai berkata, pembinaan tiga jambatan yang pada asalnya dibina dengan dana kerajaan persekutuan akan diambil alih kerajaan Sarawak.

Jambatan lain ialah Saribas, Krian, Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Kemena.

  • oleh
  • Advertisement