Anda di sini

Sertai tender projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anib

Advertisement
WONG (dua, kanan) ketika melawat tapak projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anib.
WONG (dua, kanan) ketika melawat tapak projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anib.

SANDAKAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong mempelawa penyertaan kontraktor tempatan di negeri ini dalam tender projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anib.

Menurut beliau projek di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu memakan kos sebanyak RM40 juta yang melibatkan kerja-kerja pembesaran dan pendalaman sungai sepanjang tiga kilometer.

Katanya, dengan pelaksanaan projek tebatan banjir itu pastinya akan menyelesaikan masalah banjir yang sebelum ini menjadi rungutan penduduk setempat serta pengguna jalan raya.

"Kita umumkan awal mengenai tawaran tender ini bagi membolehkan para kontraktor lebih peka kerana sebelum ini ramai yang merungut terlepas dengan tawaran seumpama atau tidak mendapat dokumen tender dipercayai akibat karenah birokrasi.

"Di sini saya ingin menekankan bahawa kementerian ini komited menghapuskan sebarang prosedur yang boleh melambatkan atau menangguhkan pelaksanaan sesebuah projek.

"Sekiranya mana-mana kontraktor yang berdepan situasi ini (karenah birokrasi), mereka boleh jumpa saya. Saya harap masalah ini tidak timbul lagi. Saya akan berusaha mentadbir kementerian ini dengan baik dan telus," jelasnya.

Tender projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anib itu akan dibuka pada 15 Januari dan lawatan tapak akan dijalankan seminggu selepas itu (22 Januari).

Wong berkata, projek itu akan ditender selewat-lewatnya pada hujung April tahun depan dengan tempoh kerja-kerja pelaksanaan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun.

Dalam pada itu, Wong berkata pihaknya hanya akan melulus dan melaksanakan projek berdasarkan peruntukan yang diberi bagi memastikan ia siap mengikut tempoh dijadualkan.

Katanya, ia berbeza dengan pendekatan kerajaan terdahulu yang melulus dan melaksanakan projek meskipun peruntukan tidak mencukupi, sekaligus menyebabkan banyak projek lambat siap ataupun tertangguh.

  • oleh
  • Advertisement