Anda di sini

Lelaki maut kereta dipandu jatuh gaung

Advertisement
ANGGOTA bomba menjalankan operasi selaman untuk mengeluarkan mayat mangsa dalam kejadian itu.
ANGGOTA bomba menjalankan operasi selaman untuk mengeluarkan mayat mangsa dalam kejadian itu.

KOTA MARUDU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terjatuh ke gaung sedalam 20 meter di Jalan Kampung Dandun Pitas dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd. Izaan Abdullah berkata, mangsa dikenali sebagai Jalmen Atang, 34, beralamat di Kampung Bilangau Kecil Pitas.

Menurutnya, kemalangan terbabit dipercayai berlaku kira-kira jam 11.10 malam pada Jumaat akibat terbabas sendiri.

Bagaimanapun katanya, kenderaan mangsa hanya ditemukan penduduk sekitar pada jam 8.30 pagi Sabtu.

"Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bilangau Kecil Pitas menuju ke Kampung Rosob Pitas.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan jatuh ke dalam gaung setinggi 20 meter.

"Kenderaan terbabit kemudiannya termasuk ke dalam anak sungai. Orang kampung turut terdengar bunyi dentuman pada waktu kejadian namun mangsa hanya dijumpai pada pagi Sabtu," katanya mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi.

Anggota bomba menjalankan operasi selaman untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk siasatan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement