Anda di sini

Kekangan kewangan, pembinaan tiga jambatan ditangguh

Advertisement
 Baru menurunkan tandatangan ke atas plak perasmian Pejabat PKR Mukah semalam.
RASMI: Baru menurunkan tandatangan ke atas plak perasmian Pejabat PKR Mukah semalam.

MUKAH: Terdapat tiga pembinaan jambatan di Sarawak yang ditangguhkan akibat kekangan kewangan dihadapi ketika ini.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, antaranya adalah Jambatan Igan, Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Rambungan.

“Kita sebenarnya telah berdialog dengan kerajaan negeri mengenai hal ini, kita tangguhkan pembinaan,” katanya ketika sidang media setelah Majlis Perasmian Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mukah semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga projek pembinaan jambatan dimaksudkan akan dimasukkan ke dalam senarai penilaian semula apabila keadaan kewangan negara semakin pulih nanti.

Difahamkan, pembinaan ketiga-tiga jambatan dimaksudkan telah diluluskan ketika pemerintahan kerajaan persekutuan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN).

Namun, ia kemudiannya adalah antara projek yang dinilai semula ketika tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.

Sementara itu, terdapat dua projek di Bahagian Mukah yang diluluskan kerajaan persekutuan terdahulu masih dilaksanakan dan dalam pembinaan.

Ia adalah pembinaan lapangan terbang Mukah dan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian.

“Projek lapangan terbang diteruskan dan masih dalam pembinaan,” katanya.

Menurutnya, ia sesuatu yang amat dialu-alukan dan memberi kemudahan kepada penduduk terutama di Bahagian Mukah.

Pembinaan SMK Balingian juga masih diteruskan demi kepentingan menjaga pendidikan.

Sementara itu, beliau juga akan mengajukan kepada Kementerian Kesihatan mengenai ketiadaan doktor pakar perubatan keluarga di Mukah.

“Daripada semua bahagian di Sarawak, hanya Mukah belum ada doktor pakar yang dimaksudkan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, perjumpaan beliau dengan kakitangan kerajaan persekutuan telah memberikan beberapa input untuk memberi ruang penambahbaikan.

Antaranya kekurangan kemudahan seperti alat sistem bunyi, alat audio visual serta kekurangan bot atau sampan bagi jabatan tertentu sebagai persediaan kecemasan ketika banjir.

Hal-hal berkenaan katanya akan beliau sampaikan kepada pihak yang berkaitan di peringkat persekutuan.

  • oleh
  • Advertisement