Anda di sini

‘Hanya Ada Cinta’ single pertama Natasha Amanda

Advertisement
NATASHA AMANDA
NATASHA AMANDA

PENDATANG baharu dalam industri muzik tanah air, Nur Natasha Amanda Mansor yakin single pertamanya berjudul ‘Hanya Ada Cinta’ yang bakal dilancarkan pada Mei depan mampu memukau para pendengar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga luar negara khususnya Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.

‘Hanya Ada Cinta’ adalah dihasilkan dari cetusan idea kreatif komposer terkenal Helen Yap dan lirik ditulis Haslan Hussein.

“Lagu ini kini boleh didengari menerusi platform digital seperti Spotify dan banyak lagi,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai single ‘Hanya Ada Cinta’, bakat baharu yang lebih dikenali sebagai Natasha Amanda itu berkata dia tidak menafikan lagu dinyanyikan itu mempunyai sejarah yang boleh dikaitkan dengan dirinya.

Katanya, lagu berkenaan menceritakan sedikit sebanyak mengenai pengalaman jatuh cinta dengan seorang jejaka namun jodohnya tidak kesampaian dan percintaan itu akhirnya menemui kegagalan.

“Apa boleh saya katakan adalah untuk sesuatu hubungan itu berjaya, setiap pasangan perlu menanamkan sikap saling mempercayai,” katanya.

Pun begitu, Amanda tidak serik dengan peristiwa hitam dalam hidupnya itu malah menjadikan pengalaman itu sebagai pemangkin untuk dia terus berjaya dalam apa yang diusahakan di masa depan.

“Saya tidak mahu menoleh ke belakang dan sebolehnya mahu menolak cinta ke tepi. Buat masa ini saya ingin fokus pada kerjaya sebagai penyanyi terlebih dahulu,” katanya.

Amanda juga begitu positif dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai penghibur apabila menukar haluan kariernya daripada seorang peguam kepada penyanyi, dengan menjadikan penyanyi Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang juga merupakan seorang peguam sebagai idola yang amat dikagumi dalam bidang diceburi kini.

Menurut Amanda, minatnya itu sebenarnya dipupuk  sejak kecil lagi apabila melihat ibunya yang juga seorang penyanyi membuat persembahan.

“Saya memang gemar menyanyi sejak dari usia 8 tahun malah ibu saya pula seorang penyanyi veteran di RTM, Clarice Boinsin.

“Darah anak seni itu memang sudah mengalir dalam diri dan ibu juga seorang daripada idola saya,” katanya.

Amanda mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda dengan menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang dari Universiti Hertfordshire di United Kingdom pada 2014.

Paling istimewa, anak kelahiran Sandakan yang berusia 28 tahun itu turut mempunyai kebolehan menyanyi dalam bahasa Mandarin.

Kelebihan menuturkan kata dalam bahasa berbeza membuatkan Amanda sering menjadi permintaan syarikat-syarikat tertentu untuk memenuhi undangan bagi memeriahkan majlis-majlis berbentuk korporat.

Advertisement