Anda di sini

APMM tahan bot pukat tunda langgar syarat sah lesen

Advertisement
BOT nelayan yang dirampas dan beroperasi menggunakan lesen yang sudah tamat tempoh.
BOT nelayan yang dirampas dan beroperasi menggunakan lesen yang sudah tamat tempoh.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot pukat tunda selepas didapati melanggar syarat sah lesen di kedudukan 1.07 batu nautika barat Tanjung Gaya, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata bot pukat tunda terbabit ditahan dalam Ops Sejahtera 1/2006 pada jam 1 pagi Jumaat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot dinaiki tekong dan awak-awak warga Filipina melanggar syarat sah lesen dengan menunda ikan pada kedudukan tiga batu nautika dari kawasan darat.

“Tekong kapal serta awak-awak juga didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan serta lesen bot juga sudah tamat tempoh,” katanya.

Menurutnya, kesemua individu serta bot nelayan kemudian dibawa ke Jeti APMM Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Kamaruszaman berkata kejayaan tangkapan ini adalah hasil pemantauan berterusan terhadap kawasan yang sering dijadikan tumpuan nelayan dalam melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Aduan daripada orang ramai juga banyak membantu menyalurkan maklumat kepada APMM dalam menghalang kegiatan kecurian hasil laut serta makluman awal untuk kita melaksanakan operasi di kawasan yang dinyatakan,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan bolehlah menghubungi Pusat Operasi Maritim Sabah di talian 088-270 165.

  • oleh
  • Advertisement