Anda di sini

Tindakan pencuri dikutuk

Advertisement
 Lee (dua kanan) memeriksa salah satu tiang penyambung utama, yang turut menjadi sasaran pencuri, sambil diperhatikan Tan (kanan) dan pegawai SEB yang lain.
PERIKSA: Lee (dua kanan) memeriksa salah satu tiang penyambung utama, yang turut menjadi sasaran pencuri, sambil diperhatikan Tan (kanan) dan pegawai SEB yang lain.

MIRI: Sebanyak 40 rumah di Tudan Desaras 6 (Fasa 2) di sini dijangka bergelap pada sambutan perayaan Hari Krismas kelak ekoran kabel elektrik dari tiang sambungan elektrik utama ke talian atas (OHL) telah dicuri.

Kecurian itu dipercayai berlaku minggu lalu dan hanya disedari pegawai Sarawak Energy Berhad (SEB) yang membuat pemeriksaan ke tiang sambungan itu dan seterusnya membuat laporan polis pada pagi 15 Disember.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin yang membuat pemeriksaan ke lokasi berkenaan bersama Pengurus Wilayah SEB Bahagian Miri Tan Joo Kok semalam, mengutuk tindakan pencuri kerana telah menyukarkan lagi keadaan penduduk di kawasan itu yang ternanti-nanti bekalan elektrik mereka untuk disambungkan.

“Kalau mengikut perancangan kita, bekalan elektrik ini akan dipasang selewatnya minggu ini, bagi membolehkan penduduk di sini menerima bekalan elektrik 24 jam dan sebahagian ‘hadiah’ Hari Krismas untuk mereka.

“Sebaliknya dengan kecurian kabel yang berlaku ini, pihak SEB terpaksa menangguhkan dahulu penyambungan bekalan tersebut sehingga kabel yang baharu ini diganti.

“Bermakna, ia akan mengambil masa seminggu lagi untuk melakukannya atau lebih, bergantung kepada keadaan cuaca dan hasrat untuk menyambung bekalan elektrik menjelang Hari Krismas (pada Selasa depan) pasti tidak dapat dilakukan,” ujarnya.  

Lee berkata, situasi ini pastinya amat menghampakan penduduk di sini yang berharap untuk menyambut perayaan Krismas dalam suasana bercahaya dan bukannya bergelap menggunakan alat penjana kuasa atau pelita.

Oleh yang demikian, Lee meminta kerjasama penduduk di kawasan penempatan baharu itu supaya melaporkan segera kepada pihak polis atau SEB, jika ternampak individu berkelakuan mencurigakan di sekitar kawasan itu terutama berhampiran dua tiang sambungan utama di kawasan itu.

Sementara itu, Tan memberitahu, gara-gara kerugian tersebut SEB terpaksa menanggung kerugian dianggarkan RM5,000 dan ini tidak termasuk kos pemasangan semula kabel berkenaan.

“Perlu kita ingatkan sekali lagi bahawa amat berbahaya untuk orang awam mencuri kabel aluminium ini yang kurang bernilai di pasaran.

“Kalaupun dijual, dengan panjangnya sembilan meter, kita anggarkan harganya sekitar RM600 sahaja, tetapi jika nyawa anda melayang disebabkan kejutan elektrik kuat ini, adakah ia berbaloi?” kata Tan.

Tambahnya, pencuri bernasib baik kerana bekalan elektrik belum disambung, sebaliknya jika bekalan sudah disambungkan ke tiang utama tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan renjatan elektrik itu boleh membawa maut.

Sehubungan itu katanya, SEB, dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pusat Miri di sini Sabtu lalu, meminta pihak polis untuk membuat rondaan berkala ke sekitar kawasan tersebut bagi mengelak kecurian berulang dan kejadian tidak diingini.

  • oleh
  • Advertisement