Anda di sini

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan

Advertisement
Bacaan talkin diperdengarkan sejurus selesai upacara pengkebumian Allahyarham Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah hari ini. - Gambar Bernama
Bacaan talkin diperdengarkan sejurus selesai upacara pengkebumian Allahyarham Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah hari ini. - Gambar Bernama

ALOR SETAR: Jenazah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, di sini kira-kira 1.45 tengah hari tadi.

Pengebumian jenazah turut dihadiri ratusan anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk sebagai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Suasana hiba menyelubungi upacara itu dengan keadaan cuaca yang sedikit mendung memudahkan urusan pengebumian dijalankan.

Terdahulu, jenazah tiba di padang Sekolah Kebangsaan Tebengau, di sini pada pukul 10.29 pagi yang dibawa dengan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Pangkalan Udara JBPM, Subang, Selangor.

Jenazah kemudian dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Tebengau sebelum dibawa ke Masjid As-Saadah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah itu untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan sejurus selepas itu.

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang parah dipercayai dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Turut hadir melawat keluarga dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek dan barisan kepimpinan serta anggota JBPM.

Sementara itu, Johari ketika ditemui pemberita selepas pengebumian itu menggesa agar siasatan berkenaan kematian Muhammad Adib diberi keutamaan oleh pihak polis memandangkan ia kini menjadi buah  mulut orang ramai selain menimbulkan pelbagai persepsi.

"Ia bagi memastikan masyarakat yang menantikan perkembangan siasatan itu dapat jawapan mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada Muhammad Adib," katanya. - Bernama 

Advertisement