Anda di sini

Sarawak ‘lubuk’ atlet muaythai berwibawa

Advertisement
 Abang Johari menyampaikan Piala Ketua Menteri Sarawak kepada Morris pada Kejohanan Muaythai Sarawak di Kuching, malam kelmarin. Turut kelihatan, Abang Abdul Wahap dan Jumaat (kiri).
TAHNIAH: Abang Johari menyampaikan Piala Ketua Menteri Sarawak kepada Morris pada Kejohanan Muaythai Sarawak di Kuching, malam kelmarin. Turut kelihatan, Abang Abdul Wahap dan Jumaat (kiri).

KUCHING: Sarawak berupaya untuk melahirkan atlet sukan muaythai yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, prestasi cemerlang yang ditunjukkan atlet muaythai termasuk memenangi pingat emas di peringkat kebangsaan membuktikan Sarawak memiliki atlet yang berkaliber.

“Meskipun masih baharu, Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) berjaya merangkul pingat emas dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dan beberapa kemenangan di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, tahniah kepada persatuan ini kerana berjaya meningkatkan imej sukan muaythai sekali gus menjadikan ia sebagai satu acara penting dalam sukan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Muaythai Sarawak Piala Ketua Menteri Sarawak di Tebingan Kuching di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Presiden PMNS Jumaat Ibrahim.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan sentiasa memberi bantuan dalam meningkatkan mutu industri sukan negeri ini.

“Malah, saya juga bersetuju dengan permintaan daripada Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan) yang akan memperluaskan lagi kampung sukan di Petra Jaya.

“Kampung sukan ini akan kita bangunkan bersebelahan stadium negeri. Ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan termasuk kemudahan latihan dan sukan-sukan yang ada kaitan dengan Sarawak untuk melatihkan atlet di peringkat SUKMA dan antarabangsa,” jelasnya.

Beliau berharap perlawanan dalam sukan muaythai  akan mempertingkatkan lagi standard permainan dan seterusnya memberi fahaman yang baik dalam usaha memajukan sukan kita.

Sementara itu, Jumaat memberitahu pihaknya telah berusaha keras memastikan sukan muaythai bukan sahaja berjaya di Sarawak tetapi juga di Malaysia amnya.

Bagaimanapun katanya, persatuan berkenaan turut memerlukan sokongan Kerajan Sarawak agar sukan muaythai Sarawak terus maju dan dikenali di seluruh dunia.

“Dengan sukan muaythai ini, insya-Allah atlet-atlet kita pasti akan membanggakan Sarawak di mata dunia,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari menyampaikan hadiah Kejohanan Muaythai Sarawak untuk Piala Ketua Menteri Sarawak kepada Morris Hii dari Kelab Muaythai Miri D30.

Morris mengalahkan Abang Muhammad Uqail Mustapha daripada Kelab Warmonger Sarawak sekali gus meraih tempat kedua kejohanan tersebut.

  • oleh
  • Advertisement