Anda di sini

Ringgit dijangka rendah minggu ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka dalam aliran menurun minggu ini berbanding dolar AS kerana sentimen pertumbuhan global yang negatif mempengaruhi prestasi mata wang, kata Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes.

Menurut Innes, ringgit akan didagangkan antara 4.17 ke 4.20, sementara pasaran minyak juga akan bertindak sebagai penentu pergerakan mata wang.

“Penyusutan sentimen pertumbuhan global akan terus membawa pasaran ekuiti merosot selepas menghadapi masalah berganda kehilangan data ekonomi utama yang menyebabkan pelabur mencari perlindungan

“Pertumbuhan yang lemah di China dan zon Euro juga menyediakan alasan asas yang penting menjadi ekuiti bukan wajaran tinggi yang akan mempengaruhi sentimen ringgit minggu depan (minggu ini) kerana pelabur akan melihat kepada Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan menyokong dolar kerana ia lebih selamat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Global FXTM untuk Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran, Jameel Ahmad berkata, pasaran menjangka Rizab Persekutuan AS akan meningkatkan kadar faedah untuk kali keempat tahun ini dan ini pada dasarnya sangat tinggi kepada Ringgit.  

“Tetapi risiko seterusnya terhadap ringgit bergantung kepada landasan peningkatan kadar faedah pada 2019,” tambahnya.

Jameel berkata, keraguan mula meresap bahawa Rizab Persekutuan akan meningkatkan kadar faedah sekerap empat kali tahun depan, yang mana dilihat sebagai risiko penting terhadap kelemahan dolar AS untuk bergerak ke hadapan.

“Sebagai sebuah pasaran pesat membangun yang dikenali sensitif kepada spekulasi kadar faedah AS, panduannya adalah, Rizab Persekutuan tidak akan aktif dengan dasar kadar faedah tahun depan, yang seharusnya difahami sebagai berita yang positif kepada ringgit pada 2019,” jelasnya.

Bagi minggu yang berakhir, ringgit ditutup kebanyakan rendah berbanding dolar AS dengan sentimen pasaran digerakkan oleh harga minyak, hasil rundingan perdagangan AS-China dan kebimbangan pelabur berhubung prospek ekonomi global.

Asas Jumaat ke Jumaat, ringgit lemah kepada 4.1830/1880 daripada 4.1640/1680 berbanding dolar AS minggu sebelumnya.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding beberapa mata wang utama sepanjang minggu.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0393/0434 daripada 3.0385/0434 dan susut berbanding pound British kepada 5.2635/2710 daripada 5.3116/3184.

Berbanding yen Jepun, ia meningkat kepada 3.6842/6895 daripada 3.6899/6937 dan kukuh berbanding euro kepada 4.7239/7299 daripada 4.7320/7373. — Bernama

Advertisement