Anda di sini

Program sulung Semarak Sastera PUTERA dilaksana dengan jayanya

Advertisement
 (duduk tiga dari kanan) Jaya, Poul, Abizai dan Huzna bersama sebahagian penggiat sastera dan ahli PUTERA yang hadir semasa Program Semarak Sastera PUTERA anjuran Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, kelmarin.
TERBAIK: (duduk tiga dari kanan) Jaya, Poul, Abizai dan Huzna bersama sebahagian penggiat sastera dan ahli PUTERA yang hadir semasa Program Semarak Sastera PUTERA anjuran Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, kelmarin.

MIRI: Program Semarak Sastera PUTERA anjuran Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya dilaksanakan dengan perkongsian dan perbincangan sastera semasa.

Program yang julung kali diadakan itu dipenuhi perkongsian bicara ilmu diskusi penulisan puisi oleh Ketua Satu PUTERA Abizai atau Zainal Abidin Suhaili selain perkongsian dunia sastera kreatif oleh Abang Median Abang Said yang merupakan antara penulis prolifik PUTERA.

Abang Median merupakan pemenang tempat pertama novel DBP Sarawak disusuli tempat kedua cerita kanak-kanak anjuran Berita Harian tahun ini.

Acara dilanjutkan dengan kupasan cerpen Frankie Latit oleh Ketua II PUTERA Poul Nanggang melalui makalah yang berjudul ‘Delusi Cotard Di Daerah Susastera: Suatu Eksperimen Memukau’.

Ketiga-tiga ahli panel  berkongsi pengalaman sastera setempat dalam memperkatakan jurus bidang masing- masing.

Abizai lebih menekan ciri-ciri untuk menjadi penulis puisi yang mantap, Abang Median pula menyarankan untuk meluaskan daerah pembacaan sastera supaya kita dapat melahirkan karya yang bermutu.

Poul Nanggang pula menjelaskan tentang perlunya dunia kritikan bagi promosi karya sastera kebangsaan khasnya dalam kalangan kerabat PUTERA.

Setiausaha PUTERA Jaya Ramba bertindak sebagai moderator.

Program yang dihadiri kira-kira 50 penggiat sastera tempatan dimeriahkan dengan acara santai baca puisi,lagu puisi, pantun klasik dan mantera klasik Iban oleh  para peserta dari Limbang, Brunei Darussalam.

Hadir sama Pegawai Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka Huzna Sait.

Terdahulu Abizai dalam ucapannya berkata, penggiat sastera di negeri ini harus bekerja keras mengangkat karya- karya hebat  supaya dapat dinilai di peringkat antarabangsa.

“Bagi PUTERA, kita sedaya upaya cuba melahirkan penulis yang boleh mendapat anugerah SEA Writer  Award, hadiah sastera perdana, hadiah sastera Sarawak dan pelbagai anugerah yang dapat dicapai oleh para kerabat penulis  PUTERA tidak kira genre puisi atau prosa.

“Itulah visi misi PUTERA sebagai sebuah organisasi sastera di Sarawak atau di Malaysia secara umum,” katanya.”

Abizai berharap pemerintah Malaysia baharu terus memberi penekanan terhadap usaha mengangkat bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu yang ke empat paling ramai penggunanya di dunia.

Advertisement