Anda di sini

PERKESO mantapkan usaha beri kesedaran keselamatan

Advertisement

BATU PAHAT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan memantapkan usaha memberi kesedaran kepada pekerja mengenai keselamatan perjalanan ulang-alik ke tempat kerja menerusi pendekatan 3E (pendidikan, penguatkuasaan dan kejuruteraan).

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO John Riba Marin berkata menerusi elemen pendidikan, PERKESO dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) akan melakukan pelbagai program keselamatan dan advokasi di tempat kerja secara lebih berfokus.

“Di samping itu, PERKESO akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan aspek pencegahan melibatkan pemasangan papan tanda di kawasan kerap berlaku kemalangan, selain melaksanakan penguatkuasaan setelah berakhirnya program advokasi bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang,” katanya ketika merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Bersama Pekerja Inisiatif PERKESO dan PDRM Peringkat Zon Selatan, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim.

Pendekatan itu katanya diharap dapat menjadi pemangkin kepada penerapan ‘Budaya Kerja Selamat dan Sihat’ dalam kalangan majikan dan pekerja, sekali gus menyokong dasar International Social Security Association (ISSA) dalam mengurangkan kadar kemalangan selain untuk membangunkan tenaga kerja yang sihat.

Katanya, pendekatan itu penting kerana pihaknya memandang serius kadar kemalangan jalan raya melibatkan para pekerja yang mahu pergi atau pulang dari tempat kerja.

“Sepanjang tahun lepas, sebanyak 47 peratus atau 33,319 daripada  69,980 kemalangan melibatkan pekerja adalah di atas jalan raya.

“Daripada jumlah itu, seramai 667 pekerja maut. Ini bermaksud purata kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai dua orang setiap hari.

“Lebih malang, sebanyak 12 peratus atau 3,848 kes berlaku di Johor dengan 98 kematian,” katanya. — Bernama

Advertisement