Anda di sini

Komited majukan sukan berbasikal di Sarawak

Advertisement
 Benjamin (tengah) ditemani Abang Abdul Wahap (dua kiri), Irawan (kiri), Ismail (dua kanan) dan Izam (kanan) pada sidang media ‘SCA Road Race Kriterium & TTT 1.0 2018’ di Kuching semalam.
SIDANG MEDIA: Benjamin (tengah) ditemani Abang Abdul Wahap (dua kiri), Irawan (kiri), Ismail (dua kanan) dan Izam (kanan) pada sidang media ‘SCA Road Race Kriterium & TTT 1.0 2018’ di Kuching semalam.

KUCHING:Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) mahu memperkenalkan semula sistem pengumpulan mata bagi sukan berbasikal.

Presiden SCA Datuk Benjamin Hasbie berkata ia bertujuan membuat pemilihan untuk wakil atau atlet negeri ke pertandingan atau kejohanan berkaitan seperti SUKMA.

“SCA ditubuhkan pada 30 Jun tahun ini dan mempunyai beberapa pendekatan dalam usaha  memupuk minat terhadap sukan berbasikal dalam kalangan orang ramai.

“Pencarian atlet merupakan antara permasalahan yang dihadapi Sarawak untuk sukan berbasikal.

“Justeru, menerusi pengumpulan mata tersebut atlet mempunyai bukti kukuh prestasi pencapaian mereka dalam setiap perlumbaan yang disertai,” katanya ketika bercakap pada sidang media ‘SCA Road Race Kriterium & TTT 1.0 2018’ di sini semalam.

Mata tersebut tegasnya, akan dikumpul dari awal tahun hingga penghujung tahun yang sama dan akan dinilai kemudian, yang dilihat amat efektif untuk memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa.

‘SCA Road Race Kriterium & TTT 1.0 2018’ dianjurkan bersama Persatuan Berbasikal Bahagian Kuching (KDCA), Persatuan Berbasikal Bahagian Samarahan (SaCA) dan turut dibantu Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Pihaknya turut menyampaikan hasrat untuk menggalakkan penubuhan ‘Continental Team’ agar setaraf dengan Terengganu.

Pada masa yang sama dalam mengurangkan perbelanjaan bagi sukan itu, pihaknya berhasrat mengurangkan jurang prestasi atlet berbasikal dengan negara jiran Indonesia.

“Jurang prestasi mereka di Indonesia dengan Sarawak amat jauh berbeza, kita mahu belajar daripada mereka dan mengurangkan kos belanja agar tidak seperti sebelumnya,” ujar Benjamin.

SCA turut menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan penganjuran ‘SCA Road Race Kriterium & TTT’ agar tidak digelar sebagai ‘race kampung’ yang tidak teratur pengurusannya.

Pagi semalam juga diadakan ‘Fun Ride’ untuk memupuk rasa cinta terhadap sukan berbasikal yang telah disertai seramai 160 peserta.

‘My First Race’ juga telah disertai penunggang muda 14 tahun ke bawah yang mana penunggang termuda yang telah menyertai adalah berumur 10 tahun semalam.

PIhak SCA turut memohon kepada Kerajaan Sarawak agar membangunkan infrastruktur bagi sukan berbasikal di Sarawak.

Turut hadir Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Residen Bahagian Kuching Ismail Mohamad Hanis, Naib Presiden SCA Irawan Sudarsono dan Pengarah Kejohanan ‘SCA Road Race Kriterium & TTT 1.0 2018’ Izam Abdul Rahman.

Kejohanan tersebut disertai seramai 122 peserta dari seluruh Kuching, Sabah, Miri dan Kalimantan Indonesia.

  • oleh
  • Advertisement