Anda di sini

Kelab atau badan sukan digalakkan mendaftar: Snowdan

Advertisement
 Miro (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada Snowdan sambil disaksikan yang lain.
IKHLAS: Miro (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada Snowdan sambil disaksikan yang lain.

BAU: Semua kelab atau badan sukan yang belum berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak perlu mendaftar bagi memudahkan penyelarasan serta penyaluran geran tahunan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, pihaknya amat menggalakkan kelab atau badan sukan mendaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Negeri Sarawak.

Menurutnya, terdapat beberapa kaedah permohonan pendaftaran badan sukan yang boleh digunakan iaitu pendaftaran secara dalam talian melalui Sistem Pendaftaran Badan Sukan (ROSA).

“Pendaftaran juga boleh dibuat dengan mengambil borang permohonan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebelum mengemukakan pendaftaran kelab atau badan sukan,” katanya semasa merasmikan Karnival Hobi Belia Serembu di pekan Siniawan Lama di sini semalam.

Dalam pada itu, Snowdan memberitahu, Kerajaan Sarawak sentiasa mencari pendekatan yang sesuai dalam mendekati golongan belia di negeri ini.

Katanya, pendekatan sesuai perlu dilakukan agar golongan belia mendapat ruang yang terbaik untuk menonjolkan keupayaan diri masing-masing.

“Kita akui zaman sudah berubah maka realiti belia pada masa kini juga berubah iaitu mereka sangat cenderung menzahirkan perasaan dengan cara mereka sendiri.

“Inilah salah satu ciri generasi belia yang selalu dikaitkan dengan kreativiti, inovasi dan dinamik,” ujarnya.

Pada majlis sama, Snowdan turut mengumumkan geran RM10,000 bagi penganjuran karnival berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh berkata, kegiatan belia berdasarkan hobi dan minat mereka adalah bersifat lebih longgar tanpa terikat dengan formaliti dan protokol.

Jelasnya, denyut nadi belia yang sebeginilah harus dilihat dengan baik oleh semua pihak khususnya Kerajaan Sarawak.

“Menerusi penglibatan dalam mereka dalam aktiviti berasaskan hobi, para belia dapat membina kualiti serta sahsiah diri masing-masing.

“Itulah perubahan ketara dalam gerakan belia masa kini apabila mereka dilihat tidak mahu terikat dengan aktiviti yang terlalu formal dan konvensional,” katanya.

Advertisement