Anda di sini

Import sendiri gula

Advertisement
 Chong (tengah) ditemani Peter Hee, Dr Ting, Alan Ling dan Joe Azmi menemui pemberita di Miri petang semalam.
IMPORT: Chong (tengah) ditemani Peter Hee, Dr Ting, Alan Ling dan Joe Azmi menemui pemberita di Miri petang semalam.

MIRI: Pengusaha industri makanan dan minuman (F&B) di Sabah dan Sarawak disaran mengimport sendiri gula dari luar negara untuk mengurangkan kos pengeluaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata, kementeriannya memperkenalkan permit import yang membenarkan pengusaha mengimport secara terus gula dengan harga murah.

Ia adalah permit khas untuk industri F&B seperti pengeluar kuih, biskut, kek serta minuman yang menggunakan kuantiti gula yang banyak dalam pemprosesan.

"Industri F&B sekiranya mahu memohon permit untuk mengimport gula secara terus dari luar negara boleh menulis kepada kementerian atau terus kepada saya.

"Kami akan pastikan proses permohonan dipercepatkan," jelasnya kepada pemberita di sini semalam.

Chong berkata, nilai pasaran gula mentah di peringkat antarabangsa kini dijual pada harga paling rendah iaitu RM1.20 sekilogram sejak beberapa bulan lalu.

Ia juga peluang untuk pengusaha mendapatkan bekalan gula mentah yang telah diproses dalam kuantiti yang banyak dengan harga berpatutan.  

Chong memberitahu, pengeluar makanan di Sarawak sebelum ini mengimport gula halus dari empat kilang pemprosesan gula di Semenanjung Malaysia.

"Kita tidak mempunyai bekalan gula mentah. Kilang gula mengimport gula mentah dan memprosesnya sebagai gula halus dengan kos antara RM2 hingga RM2.10 yang turut melibatkan kos pemprosesan dan pengangkutan.

"Selalunya menerusi urusan B to B (Business to Business), pengeluar makanan boleh mendapat harga lebih murah dari kilang gula.

"Oleh kerana jumlah permintaan di Sarawak amat kecil, kilang gula mengamalkan sikap mahu atau tidak. Ada yang mengenakan bayaran RM2.60 hingga RM2.80 sekilogram.

"Pengeluar pemprosesan makanan, sekiranya mereka mahu mengimport secara terus dari Thailand mereka boleh dapat kos RM2.10 hingga RM2.20 sekilogram," jelasnya.

Mereka disaran mengimport dalam jumlah satu kontena atau 35 tan gula dari negara pengeluar gula di Asia seperti Thailand dan Vietnam.

Hadir sama ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon, Senator Alan Ling dan Ketua KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil.

  • oleh
  • Advertisement