Anda di sini

Hidupkan budaya zikir marhaban: Abang Johari

Advertisement
 Abang Johari dan Wan Ali (enam kanan) merakam gambar kenangan bersama kumpulan Suara Wawasan Semariang, johan marhaban wanita di Kuching semalam. — Gambar Tan Song Wei
UNTUK ALBUM: Abang Johari dan Wan Ali (enam kanan) merakam gambar kenangan bersama kumpulan Suara Wawasan Semariang, johan marhaban wanita di Kuching semalam. — Gambar Tan Song Wei

KUCHING: Budaya zikir marhaban dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam di negeri ini perlu dihidupkan semula.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata zikir marhaban merupakan salah satu budaya masyarakat Melayu dan Islam di negeri ini.

Budaya itu katanya, dapat  merapatkan silaturahim antara masyarakat tetapi disebabkan perubahan zaman dan kekangan masa, ia tidak lagi diamalkan.

“Jika budaya ini tidak dihidupkan semula ia akan melenyapkan salah satu daripada budaya yang menjadi identiti dalam kalangan Melayu dan Islam Sarawak.

“Satu lagi budaya yang tidak lagi diamalkan ialah khatam al-Quran pada majlis perkahwinan.

“Sebab itu saya menyokong usaha Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) menghidupkan budaya marhaban ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pertandingan Marhaban PKMS di Pusat Konvensyen CIDB di sini semalam.  

Pada majlis itu Abang Johari turut meluluskan dana permulaan sebanyak RM100,000 untuk projek persatuan yang akan dibangunkan di tanah persatuan di Jalan Muhibbah dekat sini.

Bercakap mengenai pertandingan tersebut ia merupakan program dua tahun sekali oleh PKMS dan berlangsung selama dua hari sehingga semalam di Pusat Konvensyen CIDB.

Sebanyak 40 pasukan melibatkan 300 peserta menyertai pertandingan yang terbahagi kepada kategori lelaki dan wanita.

Kumpulan Suara Kilauan Majma dari Kuching muncul johan marhaban lelaki manakala kumpulan Suara Wawasan Semariang Batu dari Semariang Batu, Kuching muncul johan marhaban wanita.

Johan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta kitab dan piala pusingan.

Manakala tempat kedua masing-masing disandang Surau Baru Asajaya bagi kategori lelaki dan kumpulan Nur Syuhadah dari Kampung Tabuan Hilir, Kuching.

Tempat ketiga pula dimenangi kumpulan Surau Darul Hamra B dari Balai Bomba Petra Jaya, Kuching bagi kategori lelaki dan kumpulan Nur Hikmah dari Kampung Pelanduk Laut, Sadong Jaya bagi kategori wanita.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan RM750 berserta kitab.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua PKMS Dr Wan Ali Tuanku Madhi.

  • oleh
  • Advertisement