Anda di sini

ANGKASA laksana program sukarelawan pemulihan OKU bermula tahun depan

Advertisement
 Mohd Shukree (dua kiri), Mohammad Hanafi (tiga kiri) dan Nor Azizah (kiri) beramah mesra bersama penghuni taman itu pada Program Amal ‘Co-op Care’ sempena Hari Sukarelawan Sedunia di Kuala Kubu Bharu, semalam — Gambar Bernama
MELAWAT: Mohd Shukree (dua kiri), Mohammad Hanafi (tiga kiri) dan Nor Azizah (kiri) beramah mesra bersama penghuni taman itu pada Program Amal ‘Co-op Care’ sempena Hari Sukarelawan Sedunia di Kuala Kubu Bharu, semalam — Gambar Bernama

KUALA KUBU BHARU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan melaksanakan program sukarelawan khususnya dalam aspek pemulihan kefungsian golongan orang kurang upaya (OKU) bermula suku kedua tahun depan.

Naib Presiden ANGKASA Datuk Che Mohd Shukree Che Isa berkata usaha itu akan dilakukan melalui koperasi sedia ada seperti koperasi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan koperasi-koperasi universiti.

Katanya koperasi terbabit mempunyai kepakaran dan terlatih dalam membantu pemulihan golongan OKU seperti rawatan fisioterapi, pemulihan pertuturan, fizikal dan psikologi klinikal.

“Kita dapati rumah kebajikan yang menempatkan golongan OKU khususnya kategori terlantar memerlukan bantuan tenaga untuk penjagaan, latihan dan pemulihan.

“Di sini rangkaian koperasi Angkasa seperti HKL dan universiti sudah ada kepakaran itu dan mungkin dua, tiga anggota mereka boleh ditempatkan di rumah kebajikan OKU untuk tempoh tertentu sebagai kerja sukarelawan dan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas program Amal ‘Co-op Care’ bersempena Hari Sukarelawan Sedunia di Rumah Kebajikan Taman Sinar Harapan yang disertai 30 anggota Rakan Sukarelawan Co-op Malaysia di sini, semalam.

Pada majlis sama ANGKASA turut menyumbangkan 23 tilam hospital sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat koperasi itu. — Bernama

Advertisement