Anda di sini

Tuduhan sekadar untuk tutup kelemahan sendiri

Advertisement
 Fadillah (kiri) menyerahkan bantuan beg sekolah termasuk pakaian dan kelengkapan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan dalam kawasan Petra Jaya di Dewan Kampung Malaysia Jaya di Kuching semalam.
RINGANKAN BEBAN: Fadillah (kiri) menyerahkan bantuan beg sekolah termasuk pakaian dan kelengkapan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan dalam kawasan Petra Jaya di Dewan Kampung Malaysia Jaya di Kuching semalam.

KUCHING: Tuduhan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekadar bertukar kulit lebih untuk melindungi permasalah dalam parti mereka sendiri.

Ketua Whip Gabungan GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata contoh jelas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pemimpin mereka sendiri mengakui berlakunya rasuah.

Justeru menurut Fadillah, bagi melindungi permasalahan mereka termasuk janji-janji yang tidak dapat dilaksanakan maka mereka (PH) terpaksa membuat lencongan dengan cuba memaparkan GPS ini bersalin baju.

“Kita telah membuktikan GPS bukan sahaja bersalin baju tetapi berbeza berbanding dahulu di mana dasar kita fokus bukan sahaja untuk kepentingan dan keutamaan rakyat Sarawak tetapi juga memastikan hubungan kita dengan kerajaan persekutuan terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semalam pada Program ‘Kembali Ke Sekolah’ bagi kawasan Parlimen Petra Jaya di Dewan Kampung Malaysia Jaya di sini.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, ahli politik dan pemimpin selain GPS boleh membuat pelbagai kenyataan mengenai GPS dan begitu juga dengan GPS.

Tetapi katanya, apa yang penting GPS yang ditubuhkan oleh orang Sarawak sendiri kini bebas dalam menentukan dasar tanpa terikat dengan polisi di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun katanya, dalam konteks kerajaan, GPS masih perlu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan berlandaskan kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi dari sudut tuntutan hak dan perjuangan, GPS memfokuskan keutamaan kepada negeri dan rakyat Sarawak.

“Banyak dasar kini ditentukan oleh Kerajaan Sarawak sendiri dan jika kerajaan persekutuan tidak memberi peruntukan misalnya bagi projek yang telah diluluskan dan dibatalkan, Kerajaan Sarawak akan memberi peruntukan khususnya untuk mempercepatkan sambungan air dan elektrik.

“Ini membuktikan bahawa kita berbeza daripada dulu berbanding PH yang merupakan parti kitar semula d mana mereka yang bermasalah juga ada dalam parti mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jentera PBB menurut Fadillah akan memulakan jerayawara ke semua cawangan PBB selepas pelancaran GPS yang dijangka berlangsung pada Januari 2019.

Jerayawara itu katanya, turut akan melibatkan parti komponen dalam GPS bagi menerangkan mengenai perjuangan serta dasar GPS.

  • oleh
  • Advertisement