Anda di sini

Sarawak kaji cara Finland tanam hutan

Advertisement
 Abang Johari (dua kanan) bersama Huang (tengah), Dr Annuar dan tetamu memotong reben merasmikan Bangunan Korporat M.M Golden (M) Sdn Bhd.
POTONG REBEN: Abang Johari (dua kanan) bersama Huang (tengah), Dr Annuar dan tetamu memotong reben merasmikan Bangunan Korporat M.M Golden (M) Sdn Bhd.

SIBU: Sarawak sedang mengkaji model penanaman semula hutan yang digunakan di Finland untuk pengurusan hutan lestari di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, mencapai kelestarian adalah penting dalam memberi keyakinan pasaran terhadap industri perkayuan negeri yang mesra alam.

“Kami sedang mengkaji model di Finland, negara yang terbaik dalam penanaman semula hutan tetapi cuaca tidak memberi kelebihan untuk industri perkayuan di negara itu.

“Ia mengambil masa kira-kira 70 tahun untuk pokok mencapai tempoh matang berbanding di sini mengambil masa kira-kira enam tahun untuk dituai.

“Maknanya, apa yang dilakukan sekarang penanaman semula. Saya telah memberitahu Jabatan Perhutanan untuk setiap pokok yang ditebang, perlu ditanam semula untuk kelestarian mampan.

“Kelestarian hutan penting dengan kawasan yang telah ditebang mesti ditanam agar pokok-pokok tumbuh semula.

“Ini memberi isyarat kepada pasaran kita mengambil perhatian terhadap alam sekitar,” katanya ketika merasmikan Bangunan Korporat M.M Golden (M) Sdn Bhd di sini semalam.

Abang Johari turut memberi jaminan akan meneruskan dasar Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) untuk tiada ladang kelapa sawit di tanah kerajaan tetapi membenarkan kegiatan di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Kerajaan perlu mempelbagaikan dasar perladangan negeri kerana tidak dapat bergantung kepada kelapa sawit semata-mata.

“Jika harga minyak sawit turun dan harga perkayuan naik, sekurang-kurangnya kita dapat mengimbangi bagaimana kita memanfaatkan sumber daya kita,” katanya.

Berkongsi mengenai dasar ekonomi kerajaan GPS, Abang Johari berkata kerajaan merangsang ekonomi menerusi peluang kreatif dan inovatif yang diwujudkan untuk komuniti perniagaannya.

“Untuk mengembangkan ekonomi, kita mesti ada perbelanjaan awam merangsang peluang perniagaan dan sektor swasta mempunyai keupayaan melaksanakan projek-projek, kerajaan sebagai perbelanjaan awam menarik sedikit dan biarkan sektor swasta meneruskan.

“Apabila pertumbuhan perlahan, maka kita meningkatkan perbelajaan awam. Apabila pertubuhan rata-rata antara lima dan enam peratus maka peluang itu dimaksudkan sektor swasta kemudian perbelanjaan awam dikurangkan dan kita menyimpan dana awam membawa peningkatan dalam simpanan. Ini adalah bagaimana ekonomi berfungsi,” jelasnya.Abang Johari menjelaskan bahawa Sarawak mengeluarkan minyak dan kerajaan negeri mengenakan cukai jualan ke atas petroleum dan produk petroleum yang memberi pendapatan tambahan kepada negeri.

“Sarawak menggunakan hasil itu untuk perbelajaan umum membiayai produk strategik kita. Itu akan memberi peluang kepada sektor swasta melaksanakan projek-projek ini.

“Sebab itu, saya memutuskan melalui hak-hak kita dalam perlembagaan (MA63) mengenakan cukai jualan ke atas petroleum sebagai negeri pengeluar minyak.

“Belanjawan Sarawak 2019 dengan peruntukan RM11 bilion adalah terbesar setakat ini oleh kerajaan negeri,” katanya.

Menyentuh mengenai syarikat M.M Golden (M) Sdn Bhd, Abang Johari menyifatkannya sebagai sebuah syarikat tempatan di Sarawak berjaya melebarkan sayap ke luar negara.

“Oleh itu, ia memberi keyakinan kepada orang luar negara terhadap keupayaan rakyat Sarawak membangunkan negeri ini.

“Hari ini menandakan kejayaan kepada M.M Golden (M) Sdn Bhd bermula dengan pejabat lot kedai empat tingkat 7,200 kaki persegi kepada bangunan korporat baharu 10 unit tiga tingkat dengan keluasan 40,000 kaki persegi,” jelasnya.

Hadir sama Pengarah Urusan M.M Golden (M) Sdn Bhd Dato Sri Huang Tiong Sii, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw dan Temenggung Datuk Vincent Lau.

  • oleh
  • Advertisement