Anda di sini

PPM patahkan cubaan lapan migran masuk secara haram ke Semporna

Advertisement
BARANG rampasan dan kesemua tangkapan dibawa ke pangkalan Marin Semporna.
BARANG rampasan dan kesemua tangkapan dibawa ke pangkalan Marin Semporna.

SEMPORNA : Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya mematahkan aktiviti membawa masuk migran dari negara jiran di kawasan laut Pulau Omadal, di sini pada pagi Sabtu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata bot ronda PAR 3 Pasukan Polis Marin Semporna yang sedang menjalankan tugas operasi khas segera bertindak setelah menerima maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM).

"PPM Semporna telah menahan sebuah perahu kayu bersama seorang juragan, lelaki, 38. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seramai lapan orang penumpang termasuk empat kanak-kanak lingkungan umur satu hingga 72 tahun dan pembantu juragan,35, ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut telah menjumpai sejumlah wang Peso Filipina kepunyaan juragan dan penumpang serta barang-barang peribadi di dalam ruangan perahu berkenaan," katanya, menerusi kenyataan medianya di sini pada hari ini.  

Menurutnya, penumpang mengaku dikenakan bayaran kira-kira 500 Peso untuk perjalanan dari Pulau Sitangkai, Filipina menuju ke Semporna.

Mengulas lanjut, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan lebih RM16,000 melibatkan perahu, 1 unit enjin sangkut 40hp serta wang tunai Peso 3,780.00.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

"Penahanan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 26A. Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tidak lebih 15 tahun dan denda atau kedua-duanya," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk mencegah kemasukan pendatang asing ke negeri Sabah.

  • oleh
  • Advertisement