Anda di sini

Polis akan kekang kemasukan dadah Flakka ke Malaysia

Advertisement

JELI: Polis akan berusaha memastikan dadah Flakka, sejenis dadah yang amat  berbahaya terhadap kesihatan, agar tidak memasuki pasaran negara ini setelah menyedari ada usaha pihak tertentu untuk berbuat demikian.  

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik II Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesan dadah ini amat berbahaya terhadap kesihatan dan polis perlu meningkatkan penerangan kepada masyarakat berkaitan dadah jenis ini.

“Ia menjadi cabaran kepada kami kerana dadah jenis ini belum termasuk dalam 35 jenis dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) kerana ia bersifat ubat sintetik yang boleh dijual di mana-mana walaupun kesan amat berbahaya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Program Karnival Masjid dan Jihad Dadah Jeli di Masjid Lakota di sini, semalam.

Flakka (alpha-pyrrolidinopentiophenone) merupakan sejenis dadah baharu dihasilkan sebagai ubat sintetik, namun dilarang penggunaannya selepas doktor menemui kesan berbahaya kerana ia boleh menyebabkan pengguna berada dalam fasa ilusi akut.

Dadah ini akhirnya dikategorikan sebagai dadah paling berbahaya dan ia mempunyai kesan sampingan hampir mirip kokain dan Amphetamine, tetapi lebih agresif serta membawa maut.

Kamarul Zaman berkata pihaknya akan berusaha meletakkan Flakka dalam senarai dadah ADB.   

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata penyalahgunaan dadah di negara ini sudah memasuki gelombang keempat apabila kebanyakan penagih sudah beralih kepada syabu.

“Sekarang ini pengeluaran syabu di seluruh dunia melebihi pengeluaran heroin. Walaupun masalah pil kuda tinggi, namun penyalahgunaan dadah itu semakin berkurang kerana ramai sudah beralih kepada syabu,” katanya. — Bernama

Advertisement