Anda di sini

Pengurus pusat hiburan mati ditetak

Advertisement
 

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki di hadapan pusat hiburan di Jalan Sg Jernih 8/1, Seksyen 8 di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.38 pagi apabila kumpulan lelaki yang menaiki empat kereta, bertindak memukul mangsa yang merupakan seorang pengurus pusat hiburan di Bangsar.

“Lelaki yang cedera parah itu bertindak lari menyelamatkan diri ke dalam pusat hiburan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan kamera litar tertutup mendapati mangsa bertengkar dengan beberapa lelaki di luar pusat hiburan itu kira-kira sejam sebelum kejadian.

"Polis menahan tiga lelaki berusia antara 20 dan 31 tahun bagi membantu siasatan, dan merampas empat kereta serta tiga bilah parang,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa suspek dibawa ke lokasi kejadian oleh anggota polis untuk membantu siasatan. - Bernama 

Advertisement