Anda di sini

NIOSH mahu tingkat keselamatan dan kesihatan pekerjaan

Advertisement
 Pelanggan NIOSH menerima sijil penghargaan bersama Lee, Saupi dan Anizan (duduk tengah) di Bintulu malam kelmarin.
SIJIL: Pelanggan NIOSH menerima sijil penghargaan bersama Lee, Saupi dan Anizan (duduk tengah) di Bintulu malam kelmarin.

BINTULU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) komited membantu meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini melalui kerjasama organisasi tempatan dan asing.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata kerjasama itu akan membantu NIOSH merealisasikan matlamatnya menjadi pusat kecemerlangan KKP yang pastinya memberi manfaat kepada Sarawak.

“Ini merupakan sebahagian usaha NIOSH menjadi Pusat Kecemerlangan KKP, bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Penghargaan NIOSH Sarawak di sini malam kelmarin.

Turut hadir Pengurus Kanan Jabatan Latihan dan Pejabat Wilayah NIOSH Saupi Nazri Mamat dan Pengurus NIOSH Wilayah Sarawak Mohamad Anizan Mohammed Amin.

Lee berkata, NIOSH menandatangani memorandum kerjasama (MoC)dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (IOSH) berpangkalan di United Kingdom pada Persidangan Tahunan Organisasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik Ke-33 (APOSHO 33) di Hong Kong.

IOSH merupakan organisasi profesional kesihatan dan keselamatan dengan lebih 47,000 ahli daripada 130 negara, menjadikannya organisasi kesihatan dan keselamatan profesional terbesar di dunia.

“Melalui MoC itu, kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan profesionalisme ke tahap lebih tinggi dan berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai amalan KKP terbaik serta isu berkaitan termasuk kemalangan dalam perjalanan dan bekerja di tempat tinggi dan ruang terkurung.

“Kedua-dua pihak bekerjasama dalam pelbagai program seperti peningkatan profesionalisme dan kecekapan kakitangan, membangunkan bahan program latihan KKP di Malaysia dan serantau serta menerokai khidmat rundingan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu memberi manfaat kepada Sarawak kerana NIOSH turut menjemput pakar IOSH menyertai program NIOSH Sarawak seperti seminar dan persidangan.

Pada masa sama, NIOSH dan IOSH juga bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan teknologi maklumat berkaitan KKP.

“MoC itu selaras dengan komitmen NIOSH mewujudkan tempat kerja lebih selamat dan sihat di Malaysia termasuk di Sarawak,” katanya.

Untuk meningkatkan standard KKP di negeri ini, NIOSH Sarawak menawarkan perkhidmatan perundingan membantu industri memenuhi tanggungjawab mereka seperti ditetapkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967 mulai tahun depan.

Beliau berkata, NIOSH Sarawak akan berpindah ke ibu pejabat baharunya di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu selewat-lewatnya Mac tahun depan.

  • oleh
  • Advertisement