Anda di sini

Kurangkan masalah ketirisan penyeragaman harga barang

Advertisement
 Chong (dua kanan) menggunting reben perasmian Stesen Minyak Mini Buraqoil di Stapang semalam. Sementara Syamsul (kanan), Medan (empat kanan) dan yang lain melihat sama.
DIBUKA: Chong (dua kanan) menggunting reben perasmian Stesen Minyak Mini Buraqoil di Stapang semalam. Sementara Syamsul (kanan), Medan (empat kanan) dan yang lain melihat sama.

SIBU: Satu sistem lebih sitematik dan telus digunakan bagi mengurangkan masalah ketirisan dalam Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di negeri ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata beliau bersama Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan penelitian terhadap program penyeragaman harga itu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan.

Katanya, hasil penelitian itu mendapati terdapat banyak ketirisan berlaku di bawah program tersebut.

“Sebab itu, kita mahu ‘reform’. Bagaimana kita hendak laksanakannya dengan mewujudkan lebih banyak stesen mini di kawasan luar bandar.

“Manakala di tempat kurang penduduk kita sediakan Portable Container System (PCS) tetapi dalam kontena yang besar.

“Semua dilengkapkan dengan sistem komputer dan penjualan minyak akan direkodkan dalam komputer.

“Bukan minyak sahaja, tetapi barang kawalan lain seperti gula, tepung dan beras.

“Ini mengurangkan ketirisan berlaku sebelum ini,” katanya ditemui selepas perasmian pembukaan Stesen Minyak Mini Buraqoil milik Henry Medan Holding Sdn Bhd di pekan Setapang, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Buraq Mentari (Sarawak) Sdn Bhd Datuk Syamsul Azam Muhamad, Pengarah IPTB Sdn Bhd Salihin Abang dan pengusaha Stesen Minyak Mini Buraqoil Stapang Medan Arah.

Chong turut menjelaskan bahawa penduduk luar bandar berhak menikmati apa dinikmati penduduk bandar.

Katanya, tidak adil penduduk di luar bandar membeli harga lebih mahal berbanding di bandar lebih-lebih lagi pendapatan penduduk luar bandar adalah lebih rendah.

“Kalau minyak di bandar seperti petrol RON95 harganya RM2.20, orang luar bandar juga ada hak beli minyak pada harga RM2.20.

“Oleh itu, ini adalah hasrat kerajaan PH mendirikan lebih banyak stesen mini di luar bandar termasuk PCS.

“Saya yakin, ini bukan sahaja menjimatkan peruntukan atau kos kepada kerajaan tetapi mengurangkan ketirisan,” katanya.

Chong turut merakamkan tahniah kepada pemilik Stesen Minyak Mini Buraqoil di Stapang, Henry Medan Holding Sdn Bhd kerana berjaya membina sebuah stesen di kawasan tersebut.

Katanya, dengan adanya sebuah stesen minyak di kawasan itu memudahkan penduduk sekitar mendapatkan bekalan minyak petrol dan diesel untuk kegunaan harian pada harga sama di bandar.

“Sebelum kita buka stesen mini ini, penduduk di pekan Stapang terpaksa pergi ke Sibu Jaya atau ke Selangau membeli minyak.

“Penduduk di sini terpaksa pergi sejauh lebih 30 kilometer dan jarak sama untuk balik bagi mendapatkan bekalan minyak. Tetapi, satu suku daripada minyak itu sudah habis dalam perjalanan untuk beli minyak.

“Sekarang tidak perlu pergi jauh beli minyak, semua sudah boleh beli di pekan Stapang,” katanya.

Sementara itu, Stesen Minyak Mini Buraqoil milik Henry Medan Holding Sdn Bhd di Stapang adalah pertama di negeri ini.

IPTB Sdn Bhd diberi mandat oleh kerajaan sejak 2008 sebagai pembekal bahan api petroleum dan diesel berjenama Buraqoil kepada stesen minyak mini luar bandar di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan terkini di Sarawak.

IPTB Sdn Bhd menubuhkan satu entiti rakan niaga bersama Buraq Mentari (Sarawak) Sdn Bhd bagi pembangunan Stesen Minyak Mini Buraqoil secara lebih berkesan dan proaktif di Sarawak.

Sehingga kini, sebanyak 151 stesen Buraqoil aktif beroperasi di sembilan negeri.

  • oleh
  • Advertisement