Anda di sini

Kesihatan Muhammad Adib semakin merosot

Advertisement
MUHAMMAD ADIB

KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dalam  pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman, semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam lepas.

Institut Jantung Negara (IJN), dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini Muhammad Adib berkata selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru anggota bomba itu didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi  dan pengerasan tisu, justeru menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

"Ini adalah akibat daripada kecederaan awal yang teruk pada paru-parunya. Pada masa sama, fungsi buah pinggangnya juga tidak menunjukkan peningkatan di mana beliau terus memerlukan sokongan dialisis,” menurut kenyataan itu.

Berikutan perkembangan itu,dan selepas perbincangan pasukan pelbagai disiplin,  IJN berkata keputusan dicapai untuk memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada jam 9 malam tadi untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.

"Muhammad Adib sedang tenat. Berikutan keadaan  Muhammad Adib itu, kunjungan ke atasnya dihadkan. Kami menggesa semua rakyat Malaysia terus berdoa agar Muhammad Adib segera sembuh,” jelas kenyataan itu. 

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau berharap kesihatan Muhammad Adib kembali  stabil dengan penggunaan sistem Veno-Venous ECMO, iaitu  mesin yang boleh membantu tiga organ penting iaitu jantung, paru-paru dan buah pinggang sekali gus.

“Kita harapkan dengan pasukan terbaik, iaitu kumpulan pakar yang berada di sisi beliau akan memberikan segala yang terbaik. Mesin ECMO itu merupakan paling terbaik untuk menangani kedudukan kritikal beliau ketika ini.

“Bukan ada sebab atau punca apa dia semakin kritikal tapi kita tahu bahawa trauma yang beliau alami adalah sangat serius namun kita semua mendoakan beliau dapat keluar daripada keadaan kritikal ini segera kepada stabil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada hari terakhir Konvensyen Amanah Nasional 2018 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, Ipoh, di sini hari ini. - Bernama 

Advertisement