Anda di sini

Jawatan operator mesin pekerjaan paling popular

Advertisement
 Baru ketika menghadiri Hari Kerjaya KKR di Lawas semalam.
TURUN PADANG: Baru ketika menghadiri Hari Kerjaya KKR di Lawas semalam.

LAWAS: Jawatan operator mesin merupakan pekerjaan paling popular dan mendapat permintaan tinggi di negara ini. 
Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata pekerjaan tersebut juga menawarkan gaji paling lumayan yang menjadi faktor utama ia diminati. 

“Operator mesin... paling popular dan senang mendapat pekerjaan. Bukan sahaja dalam negara tetapi di luar negara, malah pekerjaan ini popular dan mendapat permintaan tinggi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kerjaya dan Sesi Libat Urus Kementerian Kerja Raya (KKR) di Lawas semalam. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu berkata, penganjuran aktiviti itu amat penting kepada belia mendapat informasi tentang peluang pekerjaan yang ada sekarang.

Katanya, masih ramai belia khasnya di luar bandar dan pedalaman tidak didedahkan tentang maklumat itu. 
“Yang penting maklumat diberi kepada belia kita. Isunya ialah banyak peluang tidak didedahkan kepada ‘on ground’.

Inilah masalahnya.
“Boleh tanya penduduk kampung, mereka tidak tahu. Kita pergi ke bawah dan tunjukkan peluang ini. Inilah langkah kita ambil dalam aktiviti begini,” jelasnya. 

Baru memberitahu, penganjuran di Lawas adalah permulaan yang berjaya dan perlu diperluaskan ke seluruh negeri. 

Beliau berterima kasih kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Akademi Binaan Malaysia (ABM), jabatan dan agensi terlibat menjayakan aktiviti itu. 

Menurut Baru, di ABM sebanyak 80 peratus daripada seramai 1,500 pelatih mengikuti pelbagai bidang kemahiran telah mendapat pekerjaan. 

Seramai 750 pelatih disasarkan masing-masing dari ABM Sabah dan Sarawak pada tahun ini. 
Jumlah sama juga disasarkan di kedua-dua negeri pada tahun depan.

Untuk Lawas, sasaran adalah 200 orang. 
“Bagi saya, ini satu peluang keemasan bagi belia kita di Lawas.

Ini merupakan siri pertama. Siri kedua mungkin di Selangau, ketiga mungkin di Limbang, Sibu, Bintulu dan bagi saya ini masa terbaik bukan hanya kita memberi maklumat tentang ABM tetapi agensi lain dan jabatan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Baru turut melancarkan ‘Drop Your Resume Day’ iaitu penyerahan ‘resume’ oleh belia tempatan berminat mengikuti latihan kemahiran di ABM. 

Antara bidang kemahiran berimpak tinggi ditawarkan ABM sempena aktiviti itu ialah ‘Scaffolding Erection’, ‘Welding 3G dan 6G’, ‘Wireman PW1, PW2, PW3, dan PW4’, ‘Blasting and Painting’. 

Sejak 1997, ABM melatih lebih 377,000 belia dan personal binaan dalam pelbagai bidang kemahiran pembinaan di seluruh negara.

Untuk Sarawak, lebih 37,000 belia dan personal binaan dilatih di ABM sejak 2010.

ABM bekerjasama rapat dengan lebih 100 rakan industri menawarkan latihan dan tempat menjalani latihan praktikal bagi peserta tamat latihan. 

Pada 13 dan 14 Disember, Baru menyampaikan bantuan peralatan sekolah kepada pelajar beberapa sekolah di Lawas di bawah program tanggungjawab sosial korporat anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) peringkat KKR. 

  • oleh
  • Advertisement