Anda di sini

Industri F&B di Sarawak, Sabah disaran import gula dari luar negara

Advertisement
Chong (tengah) ditemani (dari kiri) Hee, Dr Ting, Alan Ling dan Joe Azmi menemui pemberita di sini petang tadi.
Chong (tengah) ditemani (dari kiri) Hee, Dr Ting, Alan Ling dan Joe Azmi ketika bercakap kepada pemberita petang tadi.

MIRI: Pengusaha industri makanan dan minuman (F&B) di Sarawak dan Sabah disaran untuk mengimport sendiri gula dari luar negara untuk mengurangkan kos pengeluaran. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata, Kementerian memperkenalkan permit import yang membenarkan pengusaha mengimport secara terus gula dengan harga murah. 

Ia adalah permit khas untuk industri F&B seperti pengeluar kuih, biskut, kek serta minuman yang menggunakan kuantiti gula yang banyak dalam pemprosesan. 

"Industri F&B sekiranya mahu memohon permit untuk mengimport gula secara terus dari luar negara boleh menulis kepada kementerian atau terus kepada saya. 

"Kami akan pastikan proses permohonan dipercepatkan," jelas beliau kepada pemberita di sini hari ini. 

Chong berkata, nilai pasaran gula mentah di peringkat antarabangsa kini dijual pada harga paling rendah iaitu RM1.20 sejak beberapa bulan lalu. 

Ia juga peluang untuk pengusaha mendapatkan bekalan gula mentah yang diproses dalam kuantiti yang banyak dengan harga berpatutan.  

Chong memberitahu, pengeluar makanan di Sarawak sebelum ini mengimport gula halus dari empat kilang pemprosesan gula di Semenanjung Malaysia. 

"Kita tidak mempunyai bekalan gula mentah. Kilang gula mengimport gula mentah dan memprosesnya sebagai gula halus dengan kos antara RM2 hingga RM2.10 yang turut melibatkan kos pemprosesan dan pengangkutan," katanya.

Beliau menambah, menerusi urusan perniagaan kepada perniagaan (B2B), pengeluar makanan boleh mendapat harga lebih murah dari kilang gula.

"Oleh kerana jumlah permintaan dari Sarawak amat kecil, kilang gula mengamalkan sikap mahu atau tidak. Ada yang mengenakan bayaran RM2.60 hingga RM2.80 sekilo. 

"Pengeluar pemprosesan makanan, sekiranya mereka mahu mengimport secara terus dari Thailand mereka boleh dapat kos RM2.10 hingga RM2.20 sekilo," jelasnya.

Mereka disaran mengimport dalam jumlah satu kontena atau 35 tan gula dari negara pengeluar gula di Asia seperti Thailand dan Vietnam.    

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon, Senator Alan Ling, Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Miri Joe Azmi Jamil dan Ketua Pemuda DAP Miri Peter Hee.

  • oleh
  • Advertisement