Anda di sini

Wujud ketirisan dalam penyeragaman harga di Sarawak - Chong

Advertisement
Chong (dua kiri) mengisi minyak motosikal pelanggan pertama (dua kanan) stesen minyak mini Buraqoil hari ini.

SIBU: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen mendakwa wujud ketirisan dan amalan rasuah dalam Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sarawak.

Katanya, perkara itu menyebabkan penduduk luar bandar membeli barangan pada harga yang lebih mahal.

"Kerajaan telah bertahun-tahun memperuntukkan satu jumlah yang amat besar untuk mengangkut barang keperluan dan minyak (petrol dan diesel) kepada penduduk di luar bandar.

"Tetapi dahulu sistem ini banyak ketirisan dan unsur-unsur rasuah dalam pelaksanaan sistem ini. Oleh itu, walaupun peruntukan pengangkutan telah diberikan, penduduk-penduduk di luar bandar masih beli barang dengan lebih mahal, minyak pun lebih mahal," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pembukaan stesen minyak mini Buraqoil milik Henry Medan Holding Sdn Bhd dekat sini, hari ini.

Katanya lagi, Bajet 2018 yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada 2017, memperuntukkan RM80 juta untuk program penyeragaman harga di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, akibat ketirisan yang berlaku, peruntukan yang sepatutnya mencukupi untuk 12 bulan sepanjang tahun ini, telah habis digunakan hingga bulan Oktober, dedah Chong.

"Maka bulan November dan Disember tidak ada lagi peruntukan ... Oleh itu, bulan November dan Disember itu harga barangan lebih tinggi dan mahal.

"Apa sebabnya? Tidak ada duit lagi, tidak ada lagi untuk membayar pengangkutan untuk bawa barang ke kampung," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya di bawah pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan, akan menggunakan satu sistem yang lebih sistematik dan telus bagi mengurangkan masalah ketirisan dalam program penyeragaman harga berkenaan.

"Ini adalah satu hasrat kerajaan baru ini, kerajaan Pakatan Harapan, untuk mendirikan lebih banyak lagi sistem mini di merata-rata tempat di luar bandar, termasuk Portable Container System (Sistem Kontena Mudah Alih) tetapi dalam kontena yang besar.

"Saya yakin, ini bukan sahaja menjimatkan peruntukan atau kos kepada kerajaan, tetapi juga mengurangkan ketirisan yang berlaku sebelum ini," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement