Anda di sini

Sedia pinda Ordinan Bangunan demi cegah kebakaran

Advertisement
Abang Johari bersama Khirudin (kiri) semasa sidang media selepas majlis penutupan Program Bomba Komuniti Satok, di sini, hari ini.
Abang Johari bersama Khirudin (kiri) semasa sidang media selepas majlis penutupan Program Bomba Komuniti Satok, di sini, hari ini.

KUCHING: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk meminda undang-undang kecil berkaitan pembinaan bangunan termasuk rumah panjang baharu.

Bagaimanapun kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, perkara itu perlu dikaji terutama mendapatkan maklum balas serta penerimaan masyarakat luar bandar iaitu penduduk rumah panjang.

Beliau berkata pindaan itu dipertimbangkan bagi mencegah kebakaran yang sering melibatkan rumah panjang dengan mewajibkan setiap pembinaan rumah panjang baharu mengikut standard ditetapkan.

"Kita lihat (kaji) mungkin kita terpaksa meminda akta yang ada serta undang-undang kecil dibawah pihak majlis, yang mungkin boleh dijadikan sebagai mandatori.

"Namun kita tidak boleh memaksa untuk pembinaan sedemikian kerana belum ada penerimaan (penduduk) malahan setiap pembinaan rumah panjang itu ada tradisinya," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Program Bomba Komuniti Satok yang dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman di sini, hari ini.

Di Sarawak terdapat Ordinan Bangunan Sarawak (SBO) 1994 iaitu melaksana, membangun dan membina mana-mana sambungan bangunan atau dengan kata lainnya sambungan haram ke atas apa-apa juga jenis bangunan tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada PBT.

Abang Johari berkata, pindaan itu juga perlu diteliti bukan sahaja melibatkan undang-undang tetapi perlu merujuk kepada bomba setiap bangunan yang mahu dibina.

Beliau menjelaskan sebelum ini Sarawak mempunyai satu reka bentuk standard pembinaan rumah panjang baharu iaitu  dengan membina 'fire wall' atau dinding yang menghadang api.

Namun kata beliau ia bukan satu mandatori dan kini terdapat rumah panjang di Baram yang menggunakan reka bentuk standard berkenaan.

"Memang ada yang mengikut standard reka bentuk dimana ada ruang kosong di tengah sebelum dapur dan ada juga yang tidak mengikut kerana ia bukan mandatori setakat ini," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement