Anda di sini

‘Ralph’ juara box office Amerika Utara untuk minggu ketiga berturut-turut

Advertisement
__alt__

FILEM ‘Ralph Breaks the Internet’ terbitan Disney menduduki tempat teratas carta ‘box office’ Amerika Utara untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan mengaut kira-kira AS$16.3 juta pada hujung minggu leps, kata penjejak industri Exhibitor Relations.

Filem animasi itu, sekuel kepada ‘Wreck It Ralph’ pada 2012, menjual tiket domestik bernilai AS$141 juta sejak ia dibuka dan membantu Disney mencipta sejarah ‘box office’ sekali lagi pada tahun ini dengan kutipan melebihi AS$7 bilion dalam pendapatan ‘box office’ global bagi 2018.

Menduduki tempat kedua pada hujung minggu lepas adalah ‘The Grinch’, yang menjual tiket bernilai AS$15 juta.

Benedict Cumberbatch menjadi suara watak tajuk yang suka merungut dan diilhamkan oleh Seuss di dalam filem itu.

Di tempat ketiga adalah drama tinju terbitan MGM ‘Creed II’ dengan kutipan AS$10 juta.

Filem terbaharu dalam siri ‘Rocky’ yang sudah lama bersiaran itu dibintangi Michael B. Jordan sebagai Adonis Creed apabila dia – dibimbing oleh Rocky Balboa (Sylvester Stallone) yang semakin tua – menentang anak peninju yang membunuh bapanya.

Tempat keempat diduduki ‘Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald’ dari Warner Bros, dengan kutipan AS$7 juta.

Filem prekuel Harry Potter itu dibintangi Eddie Redmayne, Jude Law dan Johnny Depp.

Di tempat kelima adalah ‘Bohemian Rhapsody’ terbitan Fox, dengan kutipan AS$6.1 juta.

Rami Malek telah menerima reviu yang amat baik bagi lakonannya sebagai Freddie Mercury, penyanyi berbakat kumpulan rock, Queen.

Minggu-minggu akan datang akan menyaksikan tayangan beberapa filem yang dijangka akan pecah panggung, termasuk ‘Spider-Man: Into the Spider-Verse’, ‘The Mule’, ‘Mary Poppins Returns’ dan ‘Aquaman’, yang mencatatkan kutipan besar AS$93.6 juta pada hujung minggu lepas di China.

Melengkapkan kelompok 10 filem paling lumayan pada hujung minggu ini adalah Instant Family’ (AS$5.8 juta), ‘Green Book’ (AS$3.9 juta), ‘Robin Hood’ (AS$3.5 juta), ‘The Possession of Hannah Grace’ (AS$3.2 juta) dan ‘Widows’ (AS$3.15 juta). — AFP

Advertisement