Anda di sini

Pemandu teksi, e-hailing digalakkan mendapat perlindungan PERKESO

Advertisement
 Kula Segaran (empat kiri), Griffin (tiga kiri) serta yang lain bersama pada kunjungan ke PERKESO Miri petang semalam.
LAWATAN: Kula Segaran (empat kiri), Griffin (tiga kiri) serta yang lain bersama pada kunjungan ke PERKESO Miri petang semalam.

MIRI: Kurang daripada sepuluh peratus pemandu teksi dan e-hailing di bandar raya ini dilindungi dengan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Peratusan itu diberikan oleh Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran kepada media selepas mengadakan kunjungan ke Pejabat PERKESO Cawangan Miri di sini petang semalam.

“Hampir 300 pemandu teksi dan e-hailing terdapat di Miri, tetapi tidak sampai 10 peratus daripada mereka mendapatkan perlindungan PERKESO.

“Pekerjaan mereka berdepan dengan risiko besar kerana kebanyakan masa mereka adalah di jalan raya berbanding pekerjaan lain.

“Malah, statistik turut menunjukkan bahawa risiko mereka berdepan dengan kemalangan juga adalah lebih tinggi,” jelasnya.

Beliau juga bersetuju bahawa ia adalah terpulang untuk kepentingan mereka sendiri bagi dilindungi oleh PERKESO.

Bagaimanapun, Kula Segaran menggalakkan pemandu teksi dan e-hailing mengambil skim itu bukan sahaja bagi manfaat kebajikan mereka tetapi untuk kepentingan keluarga masing-masing.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui kementeriannya menyediakan lebih banyak dasar diperbaharui membantu kedua-dua pihak, pekerja dan majikan.

Katanya, pada Ahad ini beliau mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia di Parlimen.

Menurutnya, mereka akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dasar kebangsaan berkaitan dengan pekerjaan.

Terdahulu, Pengurus Pejabat PERKESO Miri, Griffin Francis Manggie memberi taklimat kepada menteri itu mengenai perkembangan terbaharu berkaitan dengan aktiviti beroperasi di PERKESO Miri.

Menurutnya, sehingga November ini PERKESO Miri membayar sejumlah RM3.1 juta kepada 1,157 penerima.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon.

  • oleh
  • Advertisement