Anda di sini

PEKEMA Cawangan Sarawak hulur bantuan RM400,000 menerusi CSR sepanjang 2018

Advertisement
 Abang Khalid (berdiri tengah) merakam kenangan bersama barisan ahli jawatankuasa PEKEMA Sarawak serta 100 kanak-kanak yang diraikan dalam majlis tersebut, kelmarin.
HULUR SUMBANGAN: Abang Khalid (berdiri tengah) merakam kenangan bersama barisan ahli jawatankuasa PEKEMA Sarawak serta 100 kanak-kanak yang diraikan dalam majlis tersebut, kelmarin.

KUCHING: Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak menghulurkan bantuan kira-kira RM400,000 menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini.

Presidennya Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki berkata, sumbangan itu merangkumi pembiayaan kos rawatan dan perubatan, pesakit kurang mampu dan mangsa bencana alam.

Antara lain katanya, termasuklah sumbangan kepada ibu tunggal, fakir miskin dan pendidikan.

“Sepanjang tahun ini kita telah memberi sumbangan berjumlah kira-kira RM400,000 dari Januari 2018 hingga Disember 2018 yang mana jumlah ini tidak jauh beza daripada sumbangan kita dalam tempoh sama sepanjang tahun lalu,” katanya.

Abang Khalid berkata demikian pada Majlis Jamuan dan Penyampaian Sumbangan Sempena Sambutan Pra-Krismas di sini, kelmarin.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Lily Johari, Naib Presiden PEKEMA Sarawak Tapah Ata, barisan ahli jawatankuasa PEKEMA Sarawak serta ahli-ahli syarikat PEKEMA Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan dan hadiah kepada 100 penerima dari kalangan kanak-kanak kurang berkemampuan di sekitar bandar raya ini.

Selain itu, para penerima dirai dengan permainan interaktif serta menikmati makan tengah hari bagi memeriahkan lagi sambutan.

Yayasan PEKEMA Sarawak semalam turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 masing-masing kepada 10 gereja di sekitar Kuching.

Abang Khalid berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengenal pasti dan mendekati pihak yang memerlukan bantuan baik daripada individu mahupun persatuan atau badan kebajikan.

“Sama seperti beberapa tahun lalu, meskipun kita berdepan dengan keadaan ekonomi yang kurang baik, ia langsung tidak menjadi halangan kepada kita (Yayasan PEKEMA Sarawak) terus menghulurkan sumbangan serta bantuan khusus kepada mereka yang memerlukan.

“Ini sahaja cara untuk kita menyumbang semula kepada masyarakat yang memerlukan dan besar harapan kita untuk meneruskan aktiviti seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

Jelasnya, program CSR ini tidak hanya diadakan pada musim perayaan, malah Yayasan PEKEMA akan terus memberi sumbangan dari semasa ke semasa.

Beliau menegaskan PEKEMA Sarawak bukan sahaja mahu menerajui arena perniagaan automotif negara, malah turut meletak sasaran untuk menjadi persatuan yang banyak menyumbang kepada rakyat.

Advertisement