Anda di sini

Buraqoil lebar sayap ke Sarawak

Advertisement
Stesten Buraqoil di Selangau Bazaar yang pertama di Sarawak.
Stesen minyak mini Buraqoil yang pertama di Sarawak.

SIBU: Stesen minyak mini luar bandar berjenama Buraqoil melebarkan sayapnya di Bumi Kenyalang, sekali gus mencatat sejarah dengan perasmian stesennya yang pertama di sini hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen menyempurnakan perasmian stesen minyak mini Buraqoil milik Henry Medan Holding Sdn Bhd di Bazar Selangau di sini.

"Dengan perasmian stesen minyak mini Buraqoil ini, maka lengkaplah operasi IPTB Sdn Bhd di sembilan buah negeri, selaras dengan mandat yang diberikan oleh Kerajaan dalam pembangunan stesen minyak mini luar bandar," kata Ketua Pegawai Operasi IPTB Sdn Bhd Zahid Ali Ahmed dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu IPTB Sdn Bhd diberi mandat oleh Kerajaan sejak 2008 sebagai pembekal bahan api petroleum dan diesel berjenama Buraqoil kepada stesen minyak mini luar bandar di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan terkini di Sarawak. 

Sehingga kini, sejumlah 151 stesen Buraqoil aktif beroperasi di sembilan negeri berkenaan.

Beliau menjelaskan, Kerajaan mahu rakyat di kawasan luar bandar menikmati kemajuan, dan usaha membawa stesen minyak mini Buragoil ini akan dapat memenuhi usaha membantu penduduk luar bandar dalam meningkatkan aktiviti ekonomi mereka, selain mendapatkan akses bahan api dengan mudah, selamat dan efisien serta pada harga sama dengan di bandar.

IPTB Sdn Bhd telah menubuhkan satu entiti rakan niaga bersama Buraq Mentari (Sarawak) Sdn Bhd bagi tujuan pembangunan stesen minyak mini Buraqoil secara lebih berkesan dan pro-aktif di Sarawak.

Stesen minyak mini Buraqoil itu merupakan yang pertama di Sarawak dan Buraq Mentari menyasarkan 10 buah stesen mini Buraqoil di bina di negeri ini menjelang tahun 2020.

  • oleh
  • Advertisement