Anda di sini

‘Bohemian Rhapsody’ lagu abad ke-20 paling banyak distrim

Advertisement
__alt__

MEREKA berkata ia tidak akan laku, ditambah pula dengan tempoh bermain enam minitnya, ayat-ayat opera dan lirik tentang Galileo dan Scaramouche, tetapi lagu Queen, ‘Bohemian Rhapsody’ pada awal minggu ini menjadi lagu yang paling banyak distrim dari abad ke-20.

Dirangsangkan oleh filem baru ‘Bohemian Rhapsody’, single dan video muzik yang dikeluarkan pada 1975 itu melepasi 1.6 bilion striming secara global, kata syarikat rekod Universal Music Group dalam satu kenyataan.

Lagu itu memintas lagu-lagu seperti ‘Smells Like Teen Spirit’ daripada Nirvana dan ‘Sweet Child O’Mine’ daripada Guns N’ Roses dan sekarang juga turut menjadi lagu rock klasik yang paling banyak distrimkan sepanjang masa, tambah Universal.

Filem ‘Bohemian Rhapsody’, dibintangi oleh Rami Malek sebagai penyanyi utama Queen iaitu mendiang Freddie Mercury, telah membawa muzik daripada kumpulan rock British itu kepada satu generasi baru.

Lima minggu selepas pertama kali ditayangkan, ia juga telah menjadi filem biografi muzikal yang mendapat kutipan tertinggi, dengan box office global sebanyak AS$600 juta.

Malek telah dicalonkan untuk Golden Globe pada minggu lepas untuk lakonannya dalam filem itu dan turut diramal akan mendapat pencalonan Oscar pada Januari.

Universal berkata ia telah mempromosikan single itu di semua platform striming dalam minggu-minggu kebelakangan ini.

Ia menggunakan semua perkhidmatan striming berdaftar global termasuk Spotify, Apple Music dan Deezer serta strim dari lagu rasmi/strim video di YouTube untuk menentukan bahawa ‘Bohemian Rhapsody’ lagu yang paling banyak distrimkan dari abad ke-20. — Reuters

Advertisement