Anda di sini

Berang ditegur, penganggur serang adik guna gergaji

Advertisement
Suspek menunjukkan gergaji yang digunakan untuk menyerang adiknya.
Suspek menunjukkan gergaji yang digunakan untuk menyerang adiknya.

SIBU: Berang ditegur kerana meminta duit daripada ibu, seorang penggangur bertindak di luar kawalan dan menyerang adiknya dengan menggunakan gergaji di kediaman mereka di Kampung Sentosa Baru, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian sekitar 5.30 petang itu, mangsa, 37 yang bekerja sebagai kelindan lori terdengar abangnya meminta duit daripada ibu mereka ketika sedang makan.

"Mangsa melarang dan menyuruh abangnya untuk bekerja sendiri mencari duit. Abang mangsa kemudian telah bertindak di luar kawalan dan menyerang pengadu dengan gergaji.

"Pengadu mengalami kecederaan di bahagian sebelah kiri kepala dengan lapan jahitan dan luka tetakan di lengan kanan serta belakang leher," jelasnya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mangsa mengalami kecederaan selepas diserang abang menggunakan gergaji.
Mangsa mengalami kecederaan selepas diserang abang menggunakan gergaji.

Stanley berkata, polis yang bertindak atas maklumat berjaya menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam.

"Ketika tangkapan dibuat, sebilah gergaji yang digunakan suspek telah dirampas," ujarnya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek, 44, juga mempunyai rekod jenayah lampau terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Suspek direman sehingga 19 Disember ini untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement