Anda di sini

Wanita mengaku tidak bersalah tipu bekas wakil rakyat

Advertisement

SIBU: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas satu pertuduhan menipu seorang bekas wakil rakyat melibatkan pakej pelancongan ke luar negara.

Lenny Valery, 37, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Muhammad Faizal Che Saad yang kemudian membenarkannya bebas dengan ikat jamin RM1,700 dengan dua penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh awal pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, Lenny didakwa menipu bekas wakil rakyat itu sebanyak RM8,000 pada 9 November 2017, kira-kira jam 12.05 tengah hari di sebuah bank di Jalan Sentral.

Tertuduh didakwa memperdayakan mangsa untuk mempercayai yang dia dapat mengatur lawatan ke luar negara untuk mangsa dan isterinya pada 9 April 2018 ke Rom, Itali; Louders, Perancis; dan Fatima, Portugal.

Bagi pertuduhan itu, Lenny didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kelmarin, Lenny turut didawka atas 15 pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Sarikei.

Dalam kes berasingan, seorang pesalah juvana diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan merogol teman wanitanya yang berusia 12 tahun sehingga mengandung.

Pesalah juvana yang berusia 16 tahun itu didakwa merogol teman wanitanya berusia 12 tahun tiga bulan di sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Lorong Teku 27 pada Februari 2017.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 5 Disember 2017, kira-kira jam 12 tengah hari ketika disoal siasat oleh pihak polis, mangsa mengaku telah melahirkan seorang bayi di dalam tandas rumah mereka dua hari sebelum itu.

Kerana bimbang diketahui oleh ahli keluarganya, mangsa bertindak menyembunyikan bayi itu di dalam almari yang terletak di dalam stor di bawah rumah.

Pada hari yang sama kira-kira jam 5.20 petang, sepasukan anggota polis telah menahan tertuduh dan siasatan mendapati kedua-dua mereka mula bertemu pada Ogos 2016.

Siasatan juga mendapati kedua-dua mereka mula melakukan hubungan seks pada Februari, 2017, kira-kira jam 2.30 petang di sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Lorong Teku 27.

Advertisement