Anda di sini

Uggah terima kunjungan daripada Ahli Lembaga Pelawat CCRC Kuching

Advertisement
 Abang Khalid (tengah) menyampaikan cenderamata daripada CCRC Kuching kepada Uggah (enam kanan) semasa kunjungan daripada Ahli Lembaga Pelawat CCRC Kuching, kelmarin.
KUNJUNGAN HORMAT: Abang Khalid (tengah) menyampaikan cenderamata daripada CCRC Kuching kepada Uggah (enam kanan) semasa kunjungan daripada Ahli Lembaga Pelawat CCRC Kuching, kelmarin.

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerima kunjungan daripada Ahli Lembaga Pelawat Cure and Care Rehabilition Center (CCRC) Kuching di pejabatnya di sini, kelmarin.

Rombongan yang diketuai Pengerusi CCRC Kuching Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki bersama ahli lembaga lain itu bertujuan menjemput Uggah ke Majlis Sambutan Perayaan Krismas anjuran CCRC Kuching yang akan diadakan pada 27 Disember, sekali gus merasmikan majlis tersebut di CCRC Kuching, di Jalan Penrissen di sini.

Selain itu, kunjungan tersebut juga bertujuan untuk menerangkan kepada Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah mengenai projek fertigasi iaitu projek bercucuk tanam yang dijalankan oleh para penghuni CCRC Kuching.

“Kita sangat berbesar hati untuk berkongsi dengan Datuk Amar (Douglas Uggah) mengenai aktiviti atau program pendedahan bercucuk tanam yang kita jalankan bersama dengan penghuni-penghuni CCRC.

“Hasilnya nanti akan dijual di luar dan keuntungan akan dikembalikan kepada pelatih terlibat. Inilah program yang kita laksanakan untuk membantu mempelajari aktiviti berkenaan,” kata Abang Khalid ketika ditemui selepas kunjungan.

Tambah beliau, ia bagi menggalakkan pelatih bergiat dalam aktiviti berkenaan sebagai kemahiran yang dapat mereka guna apabila keluar nanti.

“Kita tidak mahu menganggap mereka di sini sebagai orang yang dihukum, sebaliknya sebagai pelajar agar mereka sedar bahawa masyarakat masih sayangkan mereka,” katanya dengan harapan mereka berubah demi masa depan lebih baik.

Projek fertigasi tersebut mula dilaksana sejak beberapa bulan lalu melibatkan tanaman cili dan ‘rock melon’ dengan kerjasama sebuah syarikat swasta dan turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri.

Kata Abang Khalid, peruntukan untuk fasa pertama projek tersebut telah disalurkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, manakala bagi fasa kedua pula disalurkan sendiri oleh Uggah.

“Justeru, kami (CCRC Kuching) ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri (Abang Johari) dan YB Timbalan Ketua Menteri (Uggah) atas peruntukan yang telah diberikan kepada kami untuk menjayakan projek (fertigasi) ini.

“Dalam kunjungannya (Uggah) ke tempat kami sewaktu majlis Krismas ini nanti (27 Disember), kami akan membawa beliau untuk menyaksikan sendiri hasil tanaman oleh para penghuni itu kelak,” jelasnya.

Turut serta pada kunjungan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wan Madihi Wan Salleh, Pengarah CCRC Kuching Christopher Billy dan Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat CCRC Kuching Dr Taufiq Narawi.

Advertisement