Anda di sini

Tukar waktu operasi UTC dapat reaksi negatif masyarakat

Advertisement
(Kiri) DAYANG FITRIA dan HAMLI
(Kiri) DAYANG FITRIA dan HAMLI

KUCHING: Cadangan pertukaran waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) sehingga jam 7 malam mulai tahun hadapan mendapat reaksi negatif daripada masyarakat.

Dengan hanya memperuntukkan masa dua jam selepas waktu bekerja iaitu selepas jam 5 petang, tempoh berkenaan disifatkan tidak mencukupi.

Waktu operasi UTC sedia ada adalah sehingga jam 9 malam yang memudahkan orang ramai, terutama mereka yang bekerja waktu pejabat dan mahu berurusan di UTC.

Bagaimanapun, pada 12 Disember lalu, satu surat pemakluman mengenai pertukaran waktu operasi UTC di seluruh negara bermula 1 Januari 2019 dikeluarkan, iaitu bermula jam 8 pagi hingga 7 malam berbanding sebelum ini, UTC seluruh negara beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 9 malam.

Tinjauan Utusan Borneo mendapati rata-rata orang ramai berasakan ia bukan jangka waktu yang patut memandangkan pada jam 7 malam masih ada yang mahu berurusan.

Salah seorang daripadanya, Nelly Libau, 36, berkata dia yang bekerja mengikut waktu pejabat memilih waktu operasi malam berurusan di UTC Kuching.

“Saya bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan masa paling sesuai saya ke UTC berurusan pada waktu malam.

“Jika ia dihadkan sampi jam 7 malam, adakah masa berkenaan sempat untuk kita berurusan? Paling kurang waktu operasi sehingga jam 9 malam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nelly berharap perkara seperti itu harus diteliti terlebih dahulu dan perlu mengambil kira pandangan masyarakat umum khasnya kerana mereka yang menggunakan perkhidmatan di UTC.

Sependapat dengan Nelly, Hamli Jamahari, 57, dia berasakan menutup waktu operasi UTC sehingga 7 malam tidak memberi bantuan atau menyenangkan orang awam.

Jelas penjawat awam itu, daripada menukar waktu operasi setakat jam 7 malam, lebih baik waktu operasi berkenaan mengikut waktu pejabat sahaja.

“Pada saya ia tidak membantu sama sekali, lebih baik kekalkan jam operasi seperti biasa. Kita tidak boleh menganggap semua orang dapat pergi berurusan di UTC pada hujung minggu sahaja.

“Kadang kala ada yang lebih senang atau suka untuk pergi selepas waktu mereka bekerja. Kalau mahu tukar waktu operasi biar sampai jam 8.30 malam kerana setiap orang memerlukan masa untuk ke sana,” tegasnya.

Bagi Dayang Fitria Awang Ubi, 34, eksekutif pentadbiran, dia tidak menyokong tindakan menukar waktu operasi yang sedia ada.

“Lebih baik kekalkan waktu seperti biasa kerana kita tahu bahawa masih ramai yang memerlukan waktu lepas bekerja untuk berurusan di UTC.

“Pada saya ia lebih menyenangkan jika waktu masih sehingga jam 9 malam kerana orang ramai tidak perlu berebut sebelum operasi ditutup,” katanya.

UTC adalah salah satu usaha dan inisiatif kerajaan terdahulu bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar di satu pusat sehenti atau di satu bangunan.

Ia merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan sektor swasta.

  • oleh
  • Advertisement