Anda di sini

Tujuh maut kereta api kelajuan tinggi langgar lokomotif di Turki

Advertisement
 Anggota penyelamat memeriksa bangkai kereta api selepas nahas berlaku di Ankara, Turki pada Khamis. — Gambar Reuters
REMUK: Anggota penyelamat memeriksa bangkai kereta api selepas nahas berlaku di Ankara, Turki pada Khamis. — Gambar Reuters

ANKARA: Tujuh maut selepas sebuah kereta api kelajuan tinggi melanggar sebuah lokomotif di ibu negara Turki pada Khamis, kata pejabat gabenor Ankara.

Pejabat gabenor itu menyebut dalam satu kenyataan bahawa seorang daripada mereka yang maut adalah pemandu kereta api terbabit manakala 46 lagi cedera termasuk tiga dalam keadaan parah.

Gabenor Ankara, Vasip Sahin, sebelum ini memberitahu empat orang telah maut manakala 43 cedera.

Kereta api kelajuan tinggi itu dalam perjalanan ke wilayah tengah Konya.

“Pagi tadi satu kemalangan berlaku selepas kereta api kelajuan tinggi jam 6.30 pagi ke Konya melanggar sebuah lokomotif yang ditugaskan untuk memeriksa landasan pada laluan yang sama,” kata Sahin.

Gabenor itu menambah usaha mencari dan menye-lamatkan diteruskan manakala “siasatan teknikal” dijalankan untuk mengetahui punca sebenar nahas yang berlaku dalam daerah Yenimahalle itu.

Imej yang diterbitkan oleh media Turki menunjukkan beberapa gerabak terbabas dari landasan dan puing kereta api bertaburan di atas landasan.

Pendakwa raya Ankara telah melancarkan siasatan ke atas nahas itu, agensi berita kerajaan Anadolu melaporkan.

Nahas itu berlaku selepas satu lagi bencana kereta api pada Julai lalu apabila 24 orang maut dan ratusan lagi cedera setelah sebuah kereta api tergelincir dari landasan dalam wilayah Tekirdag, barat laut Turki, disebabkan oleh hakisan tanah selepas hujan lebat turun. — AFP

Advertisement