Anda di sini

Sabah dan Sarawak tidak harus pandang remeh isu kesihatan awam

Advertisement
MUHAMMAD SHAANI
MUHAMMAD SHAANI

KUCHING: Sabah dan Sarawak tidak harus memandang remeh isu kesihatan awam, kata Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) Muhammad Shaani Abdullah.

Beliau berkata, kira-kira 20,000 orang maut akibat masalah dan penyakit tidak berjangkit (NCD) kerana terdedah kepada asap rokok.

“Sudah lebih 30 tahun prevalen merokok di Malaysia sekitar 23 peratus kerana pelaksanaan dan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau sangat lemah dan tidak konsisten.

“Kerajaan dan pemimpin masyarakat harus menjadi contoh untuk menyokong segala langkah-langkah kawalan tembakau supaya Malaysia dapat mengurangkan prevalen merokok dalam kalangan penduduk,” katanya menerusi satu kenyataan.

Muhammad Shaani berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Borneo baru-baru ini memetik Persekutuan Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran (PPKR) Sarawak menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menarik balik peraturan larangan merokok di premis makanan yang akan dilaksanakan 1 Januari 2019.

Presiden PPKR Hii Hung Yii berkata, larangan yang diluluskan di peringkat pusat itu dibimbangi akan memberi impak kepada perniagaan premis makanan seperti kedai kopi, restoran dan gerai makanan.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan boleh diubah kerana tidak semuanya sempurna.

“Justeru, kami mahu kerajaan mengkaji semula peraturan tersebut,” kata Hii.

Mengulas lanjut, Muhammad Shaani berkata, larangan merokok di semua restoran dan premis makanan sudah lama berkuat kuasa, peraturan-peraturan pengendali makanan menegah pekerja merokok semasa bekerja bagi menjamin kebersihan serta keselamatan makanan di premis terbabit.

Bagaimanapun menurutnya, masih ramai pekerja merokok didorong oleh ramai pengunjung merokok.

“Dengan melarang merokok di semua premis makanan, peraturan ini akan dapat dikuatkuasakan.

“Selain itu, peraturan keselamatan dan kesihatan pekerja wajib dipatuhi semua majikan bagi memastikan tempat kerja sentiasa selamat. Ini termasuk bahaya terdedah kepada asap rokok,” ujarnya.

Advertisement