Anda di sini

RM10 juta untuk Skim Tanaman Baharu Lada tahun depan

Advertisement
 Larry (tengah) dan Philip (lima kiri) merakamkan gambar bersama para penerima Anugerah MPB 2017 malam kelmarin.
TAHNIAH: Larry (tengah) dan Philip (lima kiri) merakamkan gambar bersama para penerima Anugerah MPB 2017 malam kelmarin.

KUCHING: Pekebun lada kini boleh mendapatkan borang permohonan bantuan Skim Tanaman Baharu Lada daripada Lembaga Lada Malaysia (MPB).

Pengerusi MPB Larry Sng berkata, peruntukan sebanyak RM10 juta telah diluluskan untuk melaksanakan Skim Tanaman Baharu Lada bagi tahun depan.

“Oleh itu, para pegawai yang terlibat dalam pemberian bantuan hendaklah memulakan tugas dari sekarang dan memaklumkan para pekebun yang ingin memohon bantuan supaya mendapatkan borang permohonan dan penerangan lanjut berkaitan bantuan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah MPB Tahun 2017 dan Majlis Pra Krismas Tahun 2018 di sebuah hotel di sini kelmarin yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah MPB Philip Gaweng.

Terdahulu, Larry berkata, kerajaan persekutuan menerusi MPB komited membela nasib pekebun lada khususnya di Sarawak yang merupakan pengeluar lada terbesar di Malaysia.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan meneruskan bantuan kepada semua pekebun lada dari segi input pertanian, peralatan ladang, latihan dan khidmat nasihat melalui Skim Tanaman Baharu Lada, Skim Peningkatan Kualiti Peringkat Ladang, Skim Usahawan Keratan, Usahawan Jual Beli Lada dan Pemindahan Teknologi Peringkat Ladang.

“Kita hendaklah menerima hakikat bahawa pekebun kecil merupakan nadi yang terpenting dalam rantaian pengeluaran lada negara.

“Oleh itu, denyut nadi mereka haruslah diselami dan dirasai melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan agar kebajikan pekebun kecil lada tidak terpinggir dan mendapat perhatian sewajarnya,” ujarnya.

Sementara itu, Majlis Anugerah MPB Tahun 2017 menyaksikan seramai 39 pegawai dan kakitangan MPB Sarawak menerima anugerah, iaitu 28 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 dan 11 penerima Anugerah Perkhidmatan Setia.

  • oleh
  • Advertisement