Anda di sini

MGT Studio hasil minat mendalam terhadap bidang solekan, dandanan

Advertisement
 MGT Studio turut menggunakan konsep Dayak bagi dekorasi pelamin.
MENEPATI KONSEP: MGT Studio turut menggunakan konsep Dayak bagi dekorasi pelamin.

MICHELLE Grace Touch Bridal & Studio atau MGT Studio yang ditubuhkan pada 2012 di Sibu diilhamkan daripada minat mendalam terhadap bidang solekan dan dandanan rambut sepasang suami isteri.

Martin Saba Changgai dan isteri, Mageline Pidang Anye memberanikan diri menceburi bidang yang asing bagi masyarakat Dayak khususnya bagi memberi persaingan sihat antara usahawan dalam bidang ini.

Pemilik MGT Studio, Martin berbangsa Iban dari Kanowit sementara isterinya dari etnik Orang Ulu, Kenyah dari Uma Sambop Belaga, menjadikan mereka pasangan dan gabungan ideal bagi mencorakkan idea dan perjalanan studio itu.

Ketika dihubungi pemberita, Martin berkata, berdasarkan minat dan bakat yang dimiliki mereka berdua, Mageline dengan solekan dan dia sendiri mendandan rambut, tercetus idea untuk mengusahakan sebuah studio yang menyediakan perkhidmatan solekan dan dandanan rambut kepada pelanggan.

 Mageline (berdiri kanan) bergambar bersama Larissa Ping, Miss World Malaysia ketika Larissa memenangi gelaran ‘Keligit Orang Ulu Miri 2017’.
KENANGAN: Mageline (berdiri kanan) bergambar bersama Larissa Ping, Miss World Malaysia ketika Larissa memenangi gelaran ‘Keligit Orang Ulu Miri 2017’.

“Kita melihat adanya potensi dan pasaran yang luas bagi perkhidmatan seperti ini melalui pengalaman menghadiri keramaian, majlis perkahwinan dan sebagainya. Dari situ, kita berasakan khidmat sebegini berpotensi untuk dikembangkan.

“Memiliki bakat membuat dekorasi pelamin, mengambil dan menyunting video dan gambar antara kelebihan dan kelainan perkhidmatan yang disediakan MGT Studio termasuk menggabungkan konsep tradisi dan moden bagi memberi nafas baharu pada hiasan pelamin yang menepati cita rasa dan permintaan pelanggan,” kata Martin.

 Mageline (kanan) dan Martin (kiri) bersama peserta yang berjaya membawa gelaran ‘Selinggar Matahari’ Malam Gala Sarawak 2018.
KENANGAN: Mageline (kanan) dan Martin (kiri) bersama peserta yang berjaya membawa gelaran ‘Selinggar Matahari’ Malam Gala Sarawak 2018.

Bagi memahirkan lagi cara dandanan dan solekan serta perkhidmatan jurugambar dan suntingan video selain menajamkan lagi kebolehan mereka, tambah Martin, kru studio digalakkan mengikuti kursus atau seminar yang diadakan di Sibu dan juga tempat lain termasuk di Semenanjung Malaysia.

Dengan adanya platform ekonomi digital yang menggunakan kemudahan rangkaian perdagangan dalam talian menjadikan urusan semakin cepat dan senang apabila melibatkan tempahan di luar Sibu termasuk kaedah bayaran turut melalui transaksi dalam talian.

Oleh itu kata Martin, pihak studio mereka turut menjalankan promosi melalui  Page Michelle Grace Touch Bridal & Studio – MGT Studio dan Facebook Mageline MGT Studio/Martin Saba Chan selain mengambil tempahan melalui telefon dengan menghubungi Martin menerusi talian 019-7344931 dan Mageline (013-8401363).

 Kru MGT Studio tidak kenal penat lelah memenuhi tempahan di luar kawasan yang menggunakan jalan sungai.
SEDIA BERKHIDMAT: Kru MGT Studio tidak kenal penat lelah memenuhi tempahan di luar kawasan yang menggunakan jalan sungai.

“Antara perkhidmatan yang disediakan studio kami ialah andaman pengantin, solekan pengantin, ‘stage make-up,’ pelamin dewan dan pelamin rumah, ‘hall décor,’ ‘church décor,’ ‘hotel décor,’ ‘photobooth’ dan ‘car décor.’

“Studio kami turut menyediakan sewaan bagi ‘ngepan Iban’ untuk majlis perkahwinan dan resepsi serta untuk pertandingan, sewaan bagi persalinan moden, aksesori serta produk kecantikan dan kosmetik lain,” kata Martin.

Menyingkap antara kenangan manis pernah dialami kru MGT Studio kata Martin, mereka pernah menaja solekan dan dandanan serta pakaian DJ dari RTM Bagi Iban yang menjadi juruacara Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) 2016, DJ Lucia Thomas Kasau dan ACSJ 2017 DJ Stefahie Jeffery.

“Ini pengalaman yang sukar dilupakan dan akan sentiasa menjadi pemangkin semangat untuk terus menempa kejayaan dalam bidang ini walau banyak cabaran terpaksa ditempuhi.

“Ini termasuk melayani bermacam ragam dan kerenah pelanggan, terpaksa ke luar kawasan dan ada kalanya jauh ke hulu sungai, kekangan dari segi pengangkutan, masa kerja dan berurusan, sememangnya memerlukan hati yang cekal dan kesabaran tinggi,” jelas Martin.

Menyebut perihal bantuan atau sebarang sokongan, Martin menyatakan setakat ini, studio mereka belum menerima sebarang bantuan atau peruntukan dari sebarang agensi kerajaan mahupun swasta.

 Mageline sedang menyolek salah seorang pelanggannya.
MINAT: Mageline sedang menyolek salah seorang pelanggannya.

“Semua pencapaian yang ada sekarang hasil dari titik peluh dan kegigihan kami berdua dan juga kru studio yang tidak kenal erti putus asa untuk bersama-sama membawa studio ke peringkat lebih tinggi dalam bidang ini.

“Saya juga percaya dengan adanya usaha tanpa jemu dengan dorongan antara satu sama lain, kita akan beroleh kejayaan dalam apa jua bidang yang kita ceburi terutamanya dari keluarga dan rakan-rakan.

“Besar harapan saya untuk melihat MGT Studio berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, sama seperti rakan usahawan lain dalam bidang yang sama dan suatu hari nanti akan setaraf dengan studio yang telah sedia di pasaran antarabangsa,” kata Martin penuh harapan.

  • oleh
  • Advertisement