Anda di sini

Lima dicekup curi kereta

Advertisement
 Zulkipli menunjukkan pelbagai peralatan yang dirampas daripada suspek pada sidang media semalam.
RAMPAS: Zulkipli menunjukkan pelbagai peralatan yang dirampas daripada suspek pada sidang media semalam.

BINTULU: Empat lelaki dan seorang wanita tempatan ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan pada malam Selasa lepas, kata Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat pada jam 9.30 malam selepas sepasukan anggota polis dari Cawangan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Pusat Bintulu diketuai ASP Arman Khan Abdullah menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki dan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat Kampung Kemunting Jalan Sebiew di sini.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu mendapati ia menggunakan plat pendaftaran palsu. Semakan ke atas nombor casis mendapati kenderaan itu telah dilaporkan hilang di Bintulu pada 2 Disember lepas,” ujarnya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di sini, semalam.

Zulkipli berkata, pemeriksaan ke atas kereta dinaiki ketiga-tiga suspek berumur antara 17 dan 33 tahun itu turut menemui sekeping plat kenderaan lain.

Menurut beliau, suspek kemudiannya memandu arah pihak polis ke sebuah rumah tumpangan dua bilik di Jalan Abang Galau di mana pelbagai barangan seperti spanar, pemutar skru, gulung wayar, tukul dan lain-lain ditemui.

“Dua lelaki tempatan masing-masing berumur 24 dan 29 tahun turut ditahan di rumah terbabit untuk membantu siasatan dan kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Bintulu. Permohonan reman ke atas kesemua suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret hari ini (semalam),” katanya.

Zulkipli berkata, tempoh reman untuk kesemua suspek telah diluluskan sehingga 16 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun.

Mengulas lanjut, Zulkipli berkata, sebelum kes kecurian kenderaan itu, hasil soal siasat awal salah seorang suspek memberitahu motosikal yang ditungganginya telah kehabisan minyak di kawasan Tanjung Kidurong.

“Berikutan itu, suspek dan rakannya bertindak menolak motosikal terbabit di kawasan itu sehinggalah terjumpa sebuah kereta yang diparkir dengan enjinnya masih hidup,” katanya.

Jelasnya, suspek menemui pemilik kereta itu (mangsa) lalu meminta bantuan untuk memberikan wang bagi membeli minyak motosikal.

Mangsa telah menyerahkan wang sebanyak RM3 dan suspek seterusnya menolak motosikal mereka ke sebuah stesen minyak berhampiran, katanya.

Sebagai balasan katanya, mangsa meminta suspek berjanji menghantarnya ke rumah memandangkan mangsa tidak berupaya memandu kereta kerana dalam keadaan mabuk.

Sekembalinya suspek dari mengisi minyak ke motosikalnya, didapati mangsa tidak berada di keretanya malah enjin kereta pula masih hidup, tambahnya.

Melihat keadaan itu, Zulkipli berkata, suspek mengambil kesempatan dengan membawa pulang kereta tersebut ke rumah mereka.

Pemerhatian awal terhadap kenderaan itu mendapati tiada sebarang kerosakan dikesan pada tombol pintu atau pada suis kereta serta anak kunci yang dirampas juga merupakan anak kunci asal, katanya.

Siasatan juga mendapati suspek-suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau mengaku menggunakan kereta tersebut untuk melakukan kegiatan mencuri bateri, besi buruk dan lain-lain.

  • oleh
  • Advertisement