Anda di sini

Kajian terhadap semua aspek pengurusan sisa dilaksana

Advertisement
 Abang Johari menyampaikan trofi juara dan sijil penyertaan kepada Datuk Bandar DBKU,                  Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai bagi pihak DBKU yang muncul juara bagi kategori pihak berkuasa tempatan CMEA 2018.
TAHNIAH: Abang Johari menyampaikan trofi juara dan sijil penyertaan kepada Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai bagi pihak DBKU yang muncul juara bagi kategori pihak berkuasa tempatan CMEA 2018.

KUCHING: Kerajaan Sarawak melakukan kajian terhadap semua aspek pengurusan sisa sebagai sebahagian inisiatif untuk meningkatkan lagi kualiti alam sekitar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Pa-tinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kajian itu meliputi kajian semula ke atas dasar-dasar, undang-undang dan institusi, peraturan dan kapasiti mengawal pembaziran sisa dan pengurusan pelupusan sisa yang diguna pakai ketika ini.

“Sarawak mempromosi dan mengadaptasi prinsip 3R iaitu ‘Reduce, Reuse dan Recycle,’ komponen penting dalam tingkah laku pengguna yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kita menyemai budaya mengurangkan penghasilan sisa dalam kalangan rakyat,” kata-nya pada Majlis Penyampaian Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) Ke-8, 2017/2018 di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Abang Johari berkata, di negara maju seperti Kanada, pengurusan sisa lebih ke hadapan berbanding 3R, iaitu pengurangan pembuangan sisa atau sampah pilihan yang lebih baik.

Di Kanada juga katanya, jika ada bahan buangan dihasilkan, segala usaha perlu dilakukan untuk menggunakannya semula sekiranya perkara itu dapat dilaksanakan.

“Di sana, kitar semula adalah pilihan ketiga dalam hierarki pengurusan sisa. Walaupun kitar semula membantu memulihara sumber dan mengurangkan sisa, adalah penting untuk diingatkan bahawa terdapat kos ekonomi dan persekitaran berkaitan dengan pengumpulan sampah dan kitar semula.

“Atas alasan itu, kitar semula hanya dipertimbang untuk sisa yang tidak dapat dikurangkan atau diguna semula dan akhirnya ia mungkin untuk mendapatkan semula bahan atau tenaga daripada sisa yang tidak dapat dikurangkan, digunakan semula atau dikitar semula, “ jelasnya.

Sementara itu, Kontroler Alam Sekitar Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB) Peter Sawal ketika ditemui selepas majlis itu berkata, kajian berkenaan masih dilakukan dan dijangka siap Mac 2019.

“Kajian ini sepatutnya sudah siap, tetapi ahli jawatankuasa teknikal memaklumkan banyak data perlu dianalisis dan simulasi model dilakukan, jadi konsultan dilantik meminta diberi sedikit masa untuk menyiapkan model.

“Kita berharap hasil kajian itu nanti, akan ada pengesyoran untuk dasar-dasar, peraturan serta kerangka kerja baharu yang lebih efisien dan sudah tentu sistem yang bersepadu untuk digunakan, ini asasnya,” jelasnya.

Beliau berkata kajian itu telah mula dilakukan Disember 2017 melibatkan seluruh negeri dan 26 pihak berkuasa tempatan.

CMEA yang diperkenalkan pada 2001 dianjurkan oleh NREB dengan kerjasama kerajaan negeri dan diada-kan dua tahun sekali untuk mengiktirafkan sumbangan serta usaha pihak industri dan individu dalam memelihara dan memulihara kualiti alam sekitar di negeri ini.

CMEA Ke-8 bertema ‘Memupuk Penjagaan Alam Sekitar’ menyaksikan 11 juara dinobatkan iaitu Shin Yang Trading Sdn Bhd, Press Metal Bintulu Sdn Bhd, Malaysia LNG Sdn Bhd, Sime Darby Austral Sdn Bhd, Wargana Consortium Sdn Bhd, Fly Technology Agriculture Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Cecelia Sman (The Borneo Post), Jinhold Restaurant, Payung Cafe dan Min’s Cafe.

  • oleh
  • Advertisement