Anda di sini

JHS tidak akan berkompromi kakitangan terlibat rasuah

Advertisement
 Hamden (duduk tengah) bersama tetamu jemputan dan pegawai serta kakitangan JHS pada sambutan Hari Integriti Peringkat Jabatan Hutan Miri (Zon Utara) 2018 di Miri, semalam.
PERANGI RASUAH: Hamden (duduk tengah) bersama tetamu jemputan dan pegawai serta kakitangan JHS pada sambutan Hari Integriti Peringkat Jabatan Hutan Miri (Zon Utara) 2018 di Miri, semalam.

MIRI: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kakitangannya yang terlibat rasuah dalam usaha membentuk imej baharu sekali gus menepis stigma masyarakat yang beranggapan jabatan tersebut sinonim dengan rasuah.

Pengarah Hutan Sarawak Hamden Mohammad berkata, pihaknya akan membuat satu transformasi atau rombakan secara besar-besaran bukan sahaja dari segi imej jabatan, tetapi juga dari segi integriti para pegawai dan kakitangan JHS.

Bagi tujuan ini katanya, mereka akan berkolaboratif dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untukmelaksanakan semua program yang berteraskan integriti, nilai-nilai baik yang sepatutnya ada pada setiap penjawat awam.

“Sebagai pengarah yang baharu, saya akan cuba mengubah imej ini dan juga persepsi masyarakat bahawa JHS adalah sebuah jabatan yang mempunyai integriti.

“Pada 1 Januari depan, JHS akan menyambut ulangtahun yang ke-100, jadi kita nak melihat 100 tahun yang akan datang bahawa jabatan hutan ini tidak lagi disinonimkan dengan rasuah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Jabatan Hutan Miri (Zon Utara) 2018 di sebuah hotel di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sarawak Abdul Razak Deraof, Timbalan Pengarah Hutan Sarawak Jack Liam, Ketua Unit Perundangan dan Integriti JHS, Abdul Wahab Ahmad dan Pegawai Hutan Wilayah Miri Alexander Anthony Banyan.

Pada masa sama menurut Hamden, pihaknya juga akan memperketatkan semua prosedur kerja termasuk pelaksanaan kerja-kerja di lapangan dan sebagainya.

“Kita akan cuba menutup semua ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah ini terutama sekali di JHS agar kita tidak terus dipandang serong oleh masyarakat,” ujar beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata,majlis itu amat penting untuk memberi kesedaran secara berterusan tentang integriti dan pentingnya membudayakan integriti serta menjauhkan diri daripada amalan rasuah.

Justeru katanya, terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk mengupas maklumat yang telah dikongsikan dengan menjadikan integriti sebagai amalan hidup seharian.

Selain itu, Hamden turut mengingatkan semua kakitangan JHS agar sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dalam melaksanakan tugas seharian yang telah diamanahkan.

“Kita telah diberi peluang untuk berbakti kepada msyarakat, justeru ambillah peluang ini untuk memberi satu khidmat yang betul-betul diperlukan oleh masyarakat.

“Sepertimana yang kita ketahui ramai mereka di luar sana yang ingin menyertai kita, namun tidak berpeluang. Justeru jangan sia-siakan peluang yang diberi kepada kita untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan lebih 100 kakitangan JHS dari Zon Utara yang merangkumi Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas mengangkat Ikrar Bebas Rasuah dengan diketuai Alexander.

Dalam pada itu, Abdul Razak memberi jaminan bahawa setiap pemberi maklumat berhubung kegiatan rasuah, identiti mereka akan dirahsiakan.

“Para pemberi maklumat tidak perlu takut kerana identiti mereka akan dirahsiakan oleh SPRM dan mereka akan dilindungi di bawah Akta SPRM 2009,” katanya ringkas.

  • oleh
  • Advertisement