Anda di sini

Isa Samad didakwa hari ini berkaitan kes pembelian hotel oleh FIC

Advertisement
 Isa (dua kanan) ditemani isterinya Bibi Sharliza (kanan) hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
RASUAH: Isa (dua kanan) ditemani isterinya Bibi Sharliza (kanan) hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bakal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan semalam berkata Mohd Isa yang juga bekas Anggota Lembaga Pengarah FIC dan bekas Pengarah FIC, akan dituduh pada jam 9 pagi ini.

“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di mahkamah esok (hari ini),” kata kenyataan SPRM itu.

Menurut kenyataan SPRM itu, Mohd Isa hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam bagi menandatangani notis aku janji untuk hadir ke mahkamah.

Mohd Isa tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 10.45 pagi dengan ditemani isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan peguam Datuk K. Kumarendran, sebelum meninggalkan bangunan SPRM itu kira-kira 20 minit kemudian.

Pada 30 Ogos lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan sebagai berkata pihak pendakwa raya dalam pertimbangan untuk membuat pertuduhan terhadap Mohd Isa membabitkan kes pembelian hotel oleh FIC.

Pada 21 Jun 2017, Mohd Isa dan isterinya tampil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya, sebelum SPRM membuka kertas siasatan baharu berhubung pembelian hotel di Kensington, London dan Kuching antara tahun 2013 dan 2015.

FIC dipercayai membeli hotel di Kensington pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat Malaysia yang mengendalikan urusan jual beli hotel berkenaan memperoleh keuntungan sebanyak RM78 juta berdasarkan kadar tukaran semasa mata wang asing dalam tempoh 24 jam menerusi transaksi berkenaan.

SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai membabitkan harga lebih tinggi daripada harga pasaran. — Bernama

Advertisement