Anda di sini

Industri penerbangan global dijangka untung AS$35.5 bilion tahun depan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Industri penerbangan global diunjur menjana keuntungan bersih sebanyak AS$35.5 bilion (AS$1=RM4.18) pada 2019, meningkat sedikit berbanding AS$32.2 bilion yang dijangkakan pada tahun ini.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Alexandre de Juniac berkata unjuran IATA itu adalah berkait rapat dengan faktor harga minyak yang lebih rendah berserta pertumbuhan ekonomi kukuh walaupun lebih perlahan (+3.1 peratus) yang akan memanjangkan tempoh keuntungan industri terbabit.

“Prestasi itu dicatat selepas industri mengalami kesan akibat kenaikan kos pada 2018. Oleh itu, 2019 diunjur sebagai tahun kesepuluh dari segi untung serta tahun kelima membabitkan keupayaan syarikat penerbangan meraih pulangan modal yang melebihi kos modal, sekali gus memberi nilai kepada para pelabur,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Mengulas selanjutnya, de Juniac berkata IATA sebelum ini menjangkakan kenaikan kos itu akan menjejaskan keuntungan pada tahun depan.

“Bagaimanapun, kejatuhan harga minyak yang ketara serta unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh ternyata menjadi penampan. Oleh itu, kami optimis, walaupun secara berhati-hati, bahawa elemen yang membentuk nilai kukuh kepada pelabur akan berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun lagi,” katanya.

Menyentuh prospek industri itu pada tahun depan,  de Juniac berkata berdasarkan jangkaan purata minyak mentah Brent pada paras AS$65 setong iaitu lebih rendah berbanding AS$73 setong pada 2018 yang turut memberi rasa lega kepada pengendali syarikat penerbangan.

“Harga bahan api jet dijangka AS$81.30 setong pada 2019 iaitu lebih rendah berbanding purata AS$87.60 setong pada 2018. Bagaimanapun, kesan penuh penyusutan itu dirasai lebih lewat berikutan paras perlindungan nilai yang lebih ketara di rantau tertentu,” katanya.

Bahan api itu menyumbang 24.2 peratus daripada purata kos operasi syarikat penerbangan iaitu meningkat daripada unjuran 23.5 peratus untuk 2018 yang dibuat sebelum ini. — Bernama

Advertisement