Anda di sini

ILS: Hentikan berkata-kata, biar Malaysia-Singapura berunding

Advertisement
 Anthony Loke beramah mesra bersama kanak-kanak selepas merasmikan fasiliti Orang Kurang Upaya, warga emas serta golongan memerlukan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semalam. — Gambar Bernama
MESRA: Anthony Loke beramah mesra bersama kanak-kanak selepas merasmikan fasiliti Orang Kurang Upaya, warga emas serta golongan memerlukan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semalam. — Gambar Bernama

SEPANG: Biarkan sahaja Malaysia dan Singapura bersama-sama berunding mengenai isu tatacara baharu Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar  memandangkan pakar teknikal kedua-dua negara akan bertemu pada Januari untuk menyelesaikan perkara itu, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata, Malaysia telah menyatakan sebab-sebabnya dan tampil dengan sebuah video bagi menjelaskan kedudukan, yang beliau anggap “amat jelas”.

“Saya rasa cukuplah dengan apa yang diperkatakan mengenai isu ini. Biarlah kedua-dua pihak duduk  berbincang isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kemudahan ‘Happy Guest, Caring Hosts Service Culture’ dan ‘Senior Citizen and Family-Friendly’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini semalam.

Malaysia membantah terhadap protokol pendekatan landasan ILS yang baharu oleh Singapura di Lapangan Terbang Seletar, yang mencerobohi ke ruang udara Malaysia, yang akan dilaksanakan pada 3 Jan.

Tatacara ILS merujuk kepada satu bantuan kemudahan navigasi penerbangan di lapangan terbang yang menyediakan panduan vertikal dan horizontal kepada juruterbang ketika pesawat berlepas dan mendarat di landasan.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) dalam kenyataan kelmarin (Rabu) berpandangan bahawa langkah unilateral Singapura untuk menyiarkan tatacara baharu ILS bagi Lapangan Terbang Seletar  dalam  Aeronautical Information Publication (AIP) adalah jelas satu pencabulan kedaulatan dan standard  antarabangsa Malaysia.

MoT Malaysia dalam kenyataan itu juga mengulangi bahawa tidak pernah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sama ada setuju atau memberi kelulusannya bagi penyiaran tatacara ILS yang baharu itu bagi lapangan terbang Seletar.

MoT Malaysia dalam kenyataannya juga menyebut bahawa ketegangan antara Malaysia dan Singapura boleh dielakkan dengan melaksanakan tatacara ILS yang baharu bagi Landasan 03 di sebelah selatan Lapangan Terbang Seletar dan bukan di Landasan 21 di sebelah utara yang mendapat bantahan.

Namun, MoT Singapura berkata adalah perlu meletakkan tatacara prosidur penerbangan bagi kedua-dua bahagian utara dan selatan sebelum menghampiri Lapangan Terbang Seletar kerana “prosidur penerbangan bagi kedua-dua arah adalah perlu kerana pesawat berlepas dan mendarat mengikut angin.” — Bernama

Advertisement