Anda di sini

Harimau Malaya dapat suntikan semangat

Advertisement
 Skuad Kebangsaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi bagi mengadapi perlawanan akhir kedua menentang Vietnam sempena Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam esok. — Gambar Bernama
MISI BESAR: Skuad Kebangsaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi bagi mengadapi perlawanan akhir kedua menentang Vietnam sempena Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam esok. — Gambar Bernama

SEPANG: Skuad Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menghadapi Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, setelah dua tonggak di bahagian pertahanan, kembali pulih daripada kecederaan untuk aksi berkenaan di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

Tiga pemain berkenaan adalah pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak dan pertahanan kiri, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak yang tidak diturunkan pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2.

Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui kehadiran semula dua pemain berkenaan selain kembalinya pertahanan kanan, Muhammad Syahmi Safari daripada penggantungan satu perlawanan, nyata memberi kelegaan kepadanya untuk aksi genting di Hanoi nanti.

“Kita harap dengan kembalinya tiga pemain pertahanan ini, ia sedikit sebanyak membantu kita di barisan pertahanan, namun kita tahu serangan Vietnam agak pantas, cepat mengambil peluang dan pemain perlu fokus selain kubu negara tidak dibolosi,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan berlakunya perubahan formasi terutamanya di bahagian pertahanan selepas kubu skuad negara mudah dibolosi pada aksi sebelum ini, namun mengakui ia bergantung kepada keadaan pada hari perlawanan berkenaan.

“Pemain juga sudah tahu keadaan cuaca di sana, mungkin hujan atau keadaan sejuk dan pemain kena bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana nanti,” jelas Cheng Hoe yang menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal ketika Malaysia meraih kejuaraan sulung pada edisi 2010.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut serta ke Hanoi, mengakui kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang seimbang untuk muncul juara buat kali kedua, dengan Vietnam muncul juara pada 2008, manakala Malaysia pada 2010.

“Apabila keputusan seri 2-2 pada aksi (final pertama) sebelum ini, mungkin ada penyokong yang berpendapat kita mempunyai peluang tipis (untuk muncul juara) di Hanoi, tetapi dalam bola sepak, apa pun boleh terjadi macam kita bertemu dengan Thailand (sebelum ini).

“Saya kira peluang kita untuk muncul juara dengan Vietnam adalah 50-50, maknanya kita ada peluang dan dia pun ada peluang, dan dia tertekan beraksi di laman sendiri dan saya ingat pemain kita bersedia main tanpa tekanan dan beraksi dengan baik,” tegas Hamidin.

Untuk rekod, Malaysia bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat Vietnam 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas.

Sementara itu, pemain sayap naturalisasi Malaysia, Mohamadou Sumareh yakin  pasukannya mampu mengubah keadaan ke atas Vietnam apabila kedua-dua pasukan bertemu pada liga  final kedua Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

Pemain berumur 24 tahun dan berasal dari Gambia itu, yang diperkenalkan pada perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka pada 12 Okt, berkata para pemain yang telah bertungkus lumus berlawan hingga ke akhir sewajarnya tidak melepaskan peluang untuk menjulang Piala AFF Suzuki untuk kali kedua selepas 2010, meskipun berhadapan dengan perlawanan yang sukar daripada pihak lawan, yang sungguh bersemangat.

Untuk rekod, Malaysia dan Vietnam berkongsi kedudukan seri 2-2 pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Dis.

“Kami telah bersama-sama hampir dua minggu sebelum ke final dan kami banyak berkorban meskipun  ramai pemain bola sepak bercuti pada masa sekarang.

“Kami tidak mahu melepaskan peluang ini begitu sahaja dan tidak mahu menduduki tempat kedua. Kami patut melakar sejarah dan raih Piala AFF Suzuki buat kali kedua,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Hanoi bersama-sama skuad kebangsaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam. — Bernama

Advertisement