Anda di sini

Anwar hari ini mempengerusikan mesyuarat tentukan pengerusi PKR Sarawak?

Advertisement
 

KUCHING: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berada di sini bagi menghadiri mesyuarat parti hari ini yang dijangka menyentuh tentang pengerusi PKR Sarawak.

Ketua PKR Cabang Betong Vernon Kedit cuma mengesahkan mesyuarat adalah bagi membincangkan hal ehwal parti.

"Ia mesyuarat tertutup. Telefon bimbit akan diletakkan di pintu masuk bagi memastikan privasi (mesyuarat)," katanya apabila ditanya mengenainya malam tadi.

Tanpa mendedahkan masa dan lokasi mesyuarat, Vernon turut memaklumkan tiada sidang media akan diadakan.

Jawatan itu disandang Baru Bian sejak 2014.

Semalam, PKR mengumumkan lantikan baharu bagi jawatan tersebut bagi enam negeri.

Bernama melaporkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Anwar Ibrahim telah  mengadakan sesi rundingan bersama ketua-ketua cabang PKR dan bersetuju untuk melantik pengerusi-pengerusi MPN parti.

Setakat ini, senarai Pengerusi MPN telah diumumkan ialah seperti berikut, Perak dipengerusikan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), Datuk Johari Abdul (Kedah), 
Datuk Christina Liew Chin Jin (Sabah), Zahir Hassan (Kuala Lumpur) dan Halim Bachik (Melaka).

Cuma PKR Sarawak dan Sabah mempunyai autonomi dalam pemilihan pengerusi. Negeri-negeri lain, jawatan itu dilantik oleh presiden.

Di dua negeri itu, ketua-ketua cabang diberi kuasa mengundi calon pilihan mereka dan presiden akan mengumumkan.

Adakah Baru yang juga Menteri Kerja Raya akan kekal? 

Adakah tempatnya akan diganti Ahli Parlimen Julau Larry Sng, atau orang lain?

Kongres PKR diadakan pada pertengahan November lepas, dan menyaksikan Anwar disahkan sebagai presiden menggantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Larry merupakan satu-satunya ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dari Sarawak yang diumumkan menerusi kongres itu.

Beliau menyertai PKR selepas memenangi kerusi Parlimen Julau menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Advertisement